Roselan Ab Malek


Temerloh: Lelaki yang disyaki mencuri kereta di pam minyak di Mentakab, dekat sini, sudah ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, suspek dikesan dan ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Selangor kira-kira 1 tengah hari semalam.

"Ia adalah susulan laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa selepas polis menjalankan siasatan di tempat kejadian dan meneliti rakaman CCTV di stesen minyak berkenaan.

"Hasil siasatan itu, kita berjaya mengenal pasti identiti suspek dan meminta bantuan lain untuk membantu mengesan suspek.

"Berikutan itu, kita berjaya menahan suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah di Subang Jaya," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek sudah dibawa ke IPD Temerloh dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada 8 pagi semalam, kereta milik mangsa yang juga seorang pelajar berusia 20 tahun dilarikan seorang lelaki ketika mangsa sedang mengisi minyak di stesen minyak terbabit.

Mangsa yang tidak mematikan enjin kenderaan ketika mengisi minyak turut mengalami kecederaan ringan akibat terjatuh ketika cuba mengejar suspek melarikan kereta miliknya.

Gambar daripada CCTV kejadian curi kereta di sebuah pam minyak di Mentakab pagi semalam. Foto Ihsam Pembaca
Gambar daripada CCTV kejadian curi kereta di sebuah pam minyak di Mentakab pagi semalam. Foto Ihsam Pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 3:16 PM