RAKAMAN CCTV yang menunjukkan wanita warga emas diragut ketika sedang mengisi minyak. FOTO Ihsan Polis.
RAKAMAN CCTV yang menunjukkan wanita warga emas diragut ketika sedang mengisi minyak. FOTO Ihsan Polis.
Muhaamad Hafis Nawawi


Sungai Buloh: Wanita warga emas berdepan detik mencemaskan apabila menjadi mangsa ragut ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Fasa 3, Sungai Buloh, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa berusia 70 tahun kerugian wang tunai RM200 dan dokumen pengenalan diri selepas beg sandangnya diragut dua lelaki.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, mangsa yang ketika itu sedang mengisi minyak motosikal tiba-tiba didatangi lelaki memakai pelitup muka dan terus menarik beg sandang sebelum suspek melarikan diri dengan motosikal bersama rakannya.

Menurutnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek ketika itu sedang mengisi minyak bersebelahan mangsa.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan dan polis sedang mengesan suspek.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 10:05 AM