SUASANA di pekarangan kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah. FOTO Malai Rosmah Tuah
SUASANA di pekarangan kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah. FOTO Malai Rosmah Tuah
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Suasana di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah, Rumah Yayasan Sabah menjadi semakin riuh rendah sementara menunggu keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diumumkan.

Dipercayai satu perbincangan secara tertutup masih sedang diadakan di dalam Rumah Yayasan Sabah dalam kalangan pemimpin Warisan Plus namun masih tiada sebarang perincian mengenai perbincangan itu setakat ini.

Tinjauan mendapati sekumpulan penyokong Warisan dan pengamal media yang menunggu sejak jam 7 malam tadi masih kelihatan berlegar-legar di luar perkarangan Rumah Yayasan Sabah ketika ini.

Sementara itu, suasana menjadi tegang apabila calon Warisan yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Azhar Matussin membuat tuntutan bahawa gabungan Warisan Plus mendahului melalui jumlah undi sementara menunggu keputusan rasmi dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Satu sidang media oleh Warisan Plus sepatutnya dijadualkan berlangsung pada jam 9 malam ini namun masih belum ada.

Dalam perkembangan lain, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh majoriti mudah 38 kerusi.

Mengikut keputusan tidak rasmi setakat jam 9.50 malam tadi, PN memenangi 17 kerusi manakala BN (13) dan PBS (lapan), sekali gus membolehkannya merampas kerajaan negeri daripada Warisan Plus yang memperoleh 26 kerusi.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 11:23 PM