BUNG Moktar. FOTO Arkib NSTP
BUNG Moktar. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan pengundi di Sabah supaya menggunakan kebijaksanaan untuk memilih parti yang baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Dalam pesanan khas beliau sempena PRN esok, beliau yang juga Pengerusi UMNO Sabah berkata, BN dan Perikatan Nasional (PN) yang bergabung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah bersedia menggalas amanah dan tugas memimpin negeri.

Calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag itu berkata, pengundi perlu menggunakan akal fikiran yang waras untuk memilih kerajaan baharu yang lebih baik berbanding kerajaan sedia ada yang dilihat gagal membawa Sabah ke arah yang betul.

"Kepada pengundi, bukan saja di Lamag tapi di semua 73 DUN seluruh negeri, pada 26 September ini anda semua ada satu pilihan iaitu untuk menentukan hala tuju dan masa depan Sabah.

"Apabila kita ada peluang, maka ambillah peluang itu. Gunalah kebijaksanaan untuk memilih parti yang baik. Saya mencadangkan dan mengesyorkan kami, BN dan PN bersedia menggalas amanah dan tugas.

"Maka anda semua pengundi Sabah wajar memberi perhatian, gunakan akal fikiran yang waras dan pilihlah kerajaan yang baik daripada kerajaan yang ada pada hari ini," katanya.

Beliau berkata, apa yang jelas kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) gagal membangunkan ekonomi Sabah dan memberikan perhatian sewajarnya kepada semua rakyat Sabah termasuk golongan belia.

"Warisan gagal membangunkan ekonomi, Warisan gagal memuliakan anak muda. Untuk itu kami bersedia, BN dan PN bersedia menggalas amanah ini dan untuk memacu ekonomi rakyat Sabah," tegasnya.

Beliau mengakhiri pesanannya dengan meminta rakyat Sabah keluar mengundi bagi memilih parti diyakini boleh membangunkan Sabah.

"Pergilah keluar mengundi seawal pagi yang boleh bagi memastikan yang anda mendapat hak untuk mengundi pada PRN Ke-16 ini dan pastikan undi anda kepada parti yang anda rasa boleh membangunkan negeri Sabah," katanya.

Bung yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN turut bertanding di kerusi DUN Lamag, Kinabatangan.

Beliau berdepan persaingan lima penjuru menentang calon Warisan, Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan seorang calon Bebas.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta rakyat Sabah menunaikan tanggungjawab selaku pengundi untuk memilih wakil rakyat dan kerajaan baharu di Sabah.

Presiden Warisan itu turut memohon maaf kepada rakyat Sabah kerana terpaksa berdepan PRN dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih membimbangkan.

Katanya, pembubaran DUN terpaksa dilakukan bagi memberi laluan kepada PRN untuk mendapatkan mandat baharu rakyat dan menghentikan perebutan kuasa serta pergolakan politik yang berlaku di Sabah sebelum ini.

Beliau berkata, langkah itu membolehkan sistem demokrasi dapat dilaksanakan dan rakyat boleh menentukan siapa kerajaan yang memiliki kuasa selepas pilihan raya Sabtu ini.

"Saya sedar dan tahu, pada hari ini kita berhadapan dengan PRN Sabah Ke-16 dan dalam kesempatan ini saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Sabah kerana berdepan pilihan raya dalam keadaan Covid-19.

"Keadaan ini juga memungkinkan kita berkempen bahkan juga mendampingi pengundi yang ada di setiap kawasan DUN dalam keadaan Covid-19 dan kemungkinan kita terjangkit dengan penyakit ini," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 7:55 PM