GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Empat destinasi pelancongan Taman-Taman Sabah (TTS) ditutup sementara bermula hari ini bagi membolehkan operasi nyah kuman dijalankan.

Ibu pejabat Taman Kinabalu Kundasang ditutup hingga 8 Oktober ini manakala tiga lagi iaitu Taman Bukit Tawau (Tawau), Taman Marin Tun Sakaran (Semporna) dan Taman Pulau Sipadan (Semporna) ditutup hari ini hingga 30 September.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dr Jamili Nais berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengeluarkan notis perintah tutup TTS berikutan pengesanan seorang pesakit Covid-19 yang mendaki Gunung Kinabalu pada 13 dan 14 September lalu.

"Notis perintah tutup sementara itu membabitkan Ibu Pejabat Taman Kinabalu, Kundasang selama 14 hari bermula hari ini hingga 8 Oktober 2020.

"Kawasan taman ini serta aktiviti pendakian gunung Kinabalu tidak akan dibuka kepada pelawat atau pendaki dan orang awam untuk tempoh berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pusat kawalan Covid-19 dibuka di Taman Kinabalu untuk tujuan operasi pencegahan penularan yang membabitkan ujian saringan ke atas kontak rapat pendaki terbabit.

"Mereka terdiri daripada malim gunung, pendaki awam, kakitangan TTS serta pekerja syarikat swasta yang terbabit dalam aktiviti pendakian pada hari berkenaan.

"Kerja-kerja ini dijalankan oleh TTS bersama KKM. Operasi nyahkuman yang menyeluruh dilaksanakan ke atas kemudahan pelancongan di sepanjang laluan pendakian ke gunung Kinabalu termasuk di Stesen Panalaban di sepanjang tempoh penutupan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, berikutan keadaan ketika peningkatan penularan Covid-19 di kawasan pantai timur Sabah khususnya di Tawau dan Semporna yang kini berstatus zon merah.

Katanya, TTS juga melaksanakan Operasi NyahKuman di tiga taman iaitu Taman Bukit Tawau, Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Pulau Sipadan selama tujuh hari bermula semalam hingga 30 September 2020.

"Ketiga-tiga taman ini tidak akan dibuka kepada pelawat dan orang awam sepanjang masa operasi ini dilaksanakan.

"Bagaimanapun taman lain yang masih bebas daripada gejala penularan Covid-19, iaitu Taman Tunku Abdul Rahman (Kota Kinabalu), Taman Pulau Penyu (Sandakan), Taman Banjaran Crocker (Keningau, Tambunan, Tenom), Taman Pulau Tiga (Kuala Penyu) dan Taman Tun Mustapha (Kudat) masih dibuka kepada pelawat awam.

"Begitu juga stesen Taman Kinabalu yang lain iaitu Stesen Mata Air Panas Poring (Ranau), Sub-Stesen Serinsim (Kota Marudu), Sub-Stesen Sayap (Kota Belud), Sub-Stesen Monggis (Ranau) dan Sub-Stesen Nalapak (Kota Marudu) masih dibuka kepada pelawat awam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 12:42 PM