Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu Dr Mohd Termizi Ghazali (tengah).
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu Dr Mohd Termizi Ghazali (tengah).
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Tidak semua penternak memberi kerjasama baik apabila Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu menawarkan suntikan pelalian Haemorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar darah sebagai langkah pencegahan walaupun ia disediakan secara percuma.

Pengarahnya, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, pihaknya sering memberi ingatan kepada penternak supaya memberi suntikan pelalian HS kepada ternakan bagi melindunginya daripada diserang HS.

"Tetapi tidak semua penternak memberi kerjasama baik biarpun JPV menawarkan vaksin itu secara percuma.

"Malah ada segelintir penternak yang menolak pelawaan JPV untuk menyuntik vaksin pencegahan HS itu kepada ternakan dengan alasan ternakan liar dan sebagainya.

"Umumnya, penternak sedia maklum dengan risiko yang dihadapi mereka apabila HS menyerang tetapi tetap tidak mengambil serius mengenainya," katanya dihubungi hari ini.

Tambah beliau, paling menyedihkan, segelintir penternak menyalahkan JPV apabila ternakan mereka diserang HS.

"Sepatutnya, penternak sedia maklum yang HS mudah berjangkit. Berdasarkan rekod, HS pernah melanda negeri ini pada 2009 dan 2017.

"Semua pihak perlu bekerjasama mengambil langkah pencegahan awal daripada HS. Jangan harapkan JPV sepenuhnya untuk ingatkan supaya ternakan perlu divaksin, mesti ada kesedaran sendiri untuk menjaga ternakan masing-masing," katanya.

Menurut Dr Mohd Termizi, menjaga ternakan daripada diserang HS ialah tanggungjawab penternak dan JPV hanya membantu serta memberi rawatan jika perlu.

Dr Mohd Termizi berharap HS dapat dikawal secepat mungkin sebelum menular ke kawasan lain.

"Kerjasama semua penternak tidak memindahkan ternakan dari kawasan wabak ke tempat lain membantu mengawal penularan penyakit berkenaan.

"Setakat ini, 675 lembu dan 58 kerbau milik 106 penternak di 12 kampung sudah divaksinkan sejak 30 Ogos lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 6:53 PM