WAN Rosdy (kiri) dan Mohd Hizamri (dua dari kanan) melawat Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest. FOTO Mohd Rafi Mamat.
WAN Rosdy (kiri) dan Mohd Hizamri (dua dari kanan) melawat Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


Cameron Highlands: Kerajaan Pahang akan turut membantu memajukan Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest bagi memastikan ia menjadi produk pelancongan bertaraf antarabangsa di negara ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keunikan tumbuhan lumut serta udara segar di TER Mossy Forest perlu dijadikan produk utama dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara ke situ.

Katanya, sudah tiba masanya TER Mossy Forest diletakkan dalam peta pelancongan utama negara ini, seterusnya dijadikan pakej setiap pelancong yang datang ke Cameron Highlands.

Menurutnya, kesungguhan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memajukan TER Mossy Forest harus dipuji.

"Banyak kemudahan disediakan untuk pelancong terutama laluan pejalan kaki sepanjang 200 meter, menara dan tempat berehat.

"Kerajaan negeri akan memikirkan bentuk bantuan yang diperlukan oleh JPNP bagi memajukan lagi TER Mossy Forest, perbincangan dengan pihak terbabit akan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Saya ingin melihat selepas ini pelancong yang datang ke Cameron Highlands tidak melepaskan peluang berkunjung ke TER Mossy Forest kerana mereka dapat merasai sendiri suasana berada dalam hutan lumut yang begitu menarik dan menakjubkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas berkunjung ke TER Mossy Forest sempena program Lawatan Kerja ke Cameron Highlands, kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.

Beliau berkata, rekod JPNP mendapati jumlah pelancong tempatan dan asing yang datang Cameron Highlands bertambah setiap tahun.

Wan Rosdy berkata, walaupun kehadiran pengunjung ke Cameron Highlands dan TER Mossy Forest berkurangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun jumlah itu meningkat selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri.

Sementara itu Mohd Hizamri berkata, pihaknya sedang menyediakan pelan menaik taraf beberapa kemudahan di TER Mossy Forest terutama membabitkan kawasan letak kenderaan dan pusat maklumat.

"Setiap hari antara 100 hingga 150 pelancong datang ke TER Mossy Forest dan jumlah pengunjung bertambah sekali hingga dua kali ganda pada hujung minggu dan cuti umum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 11:02 AM