ANIFAH bergambar bersama calon yang akan bertanding pada PRN Sabah. FOTO Aswadi Alias
ANIFAH bergambar bersama calon yang akan bertanding pada PRN Sabah. FOTO Aswadi Alias
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Parti tempatan Sabah, Parti Cinta Sabah (PCS) mempertandingkan 73 kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung pada 26 September ini.

Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman berkata, sebanyak 70 kerusi diumumkan pada hari ini dan baki tiga kerusi lagi akan diketahui pada hari penamaan calon kelak.

Tiga kerusi yang bakal diumumkan terbabit membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Banggi dan Matunggong.

Anifah juga menjelaskan calon bagi tiga DUN itu tidak dapat diumumkan hari ini berikutan terdapat masalah teknikal yang perlu diselesaikan namun menegaskan pihaknya akan meletakkan calon di semua DUN.

"Saya percaya semua kawasan di Sabah menginginkan calon PCS bertanding. Kita berada di sini untuk berkhidmat untuk rakyat.

"Jelas bahawa jika kita tidak bertanding sebanyak 73 kerusi, kita tidak boleh membentuk kerajaan. Kita mahu menang kerana kita mahu mentadbir Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis Pengumuman Calon dan Penyerahan Watikah Calon-Calon Parti Cinta Sabah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, PCS akan melaksanakan manifesto yang dirangka khas untuk orang Sabah di samping memaklumkan manifesto terbabit akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.

"Manifesto ini telah dirangka dengan meletakkan kepentingan Sabah sebagai perkara paling utama.

"Ia merangkumi beberapa teras seperti mewujudkan satu kementerian baru khas untuk minyak dan gas, menjamin kedaulatan Sabah, MA63, pendidikan dan kemahiran, pembangunan infrastruktur dan kebajikan wanita serta belia.

"PCS mempunyai misi dan visi untuk memperjuangkan hak dan keistimewaan Sabah seperti yang termaktub dalam IGC62, MA63 dan Perlembagaan Malaysia.

"Kita akan tetap berpegang kepada perjuangan ini jika kita diberi mandat untuk membentuk kerajaan Sabah," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknyaberharal agar semua parti tempatan Sabah bersatu untuk menuntut hak istimewa oeang Sabah.

"Adalah menjadi harapan saya agar parti tempatan Sabah bersatu dan bekerjasama bagi menuntut hak dan keistimewaan rakyat Sabah yang masih tidak dilaksanakan lagi.

"Kita sayangkan negeri kita dan biarlah Sabah yang mentadbir Sabah. Mentadbir negeri sendiri bukan ertinya melawan kerajaan pusat.

"Saya terbuka untuk bekerjasama dengan parti tempatan Sabah lain sekiranya mereka juga memperjuangkan hak istimewa kita," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 6:41 PM