MATUSIN Bowie (hadapan, lima dari kanan) bersama para penduduk Kampung Magatang pada kempen pilihanraya di kampung. FOTO BERNAMA
MATUSIN Bowie (hadapan, lima dari kanan) bersama para penduduk Kampung Magatang pada kempen pilihanraya di kampung. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Keningau: Antara 447 calon yang bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, nama 'Matusin' menarik perhatian apabila dua calon berkongsi nama, berentap di DUN Tulid.

Bekas pemain pertahanan pasukan bola sepak Sabah, Matusin Bowie @ Matius, 50, dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Matusin Timam, 56, bekas penolong pegawai perubatan, mewakili Parti Cinta Sabah (PCS), antara tujuh calon yang bertanding di Tulid, satu daripada 13 kerusi baharu yang ditawarkan kali ini.

Matusin Bowie, pemain bola sepak era 1990-an itu berkata, pastinya persaingan dua nama ini menarik dan kempen terbuka tentunya rancak dengan setiap calon menawarkan manifesto masing-masing kepada 8,910 pengundi Tulid.

"Ya, saya pun tidak menyangka wujud nama yang sama tapi itulah adat pertandingan politik. Saya mungkin muka baharu tetapi saya setia kepada parti sejak dahulu lagi selepas menggantung but bola dan kerana itu kepercayaan diberikan untuk diangkat menjadi calon," kata Matusin Bowie kepada Benama.

Katanya, isu keperluan asas pastinya antara yang akan kita bawa dan jelaskan kepada pengundi kerana mereka berhak mendapatkan akses dan keperluan yang sebaik mungkin.

Sementara itu, Matusin Timam berkata, permasalahan dihadapi rakyat di DUN Tulid terutamanya isu bekalan air terawat, kekurangan keperluan asas seperti akses jalan raya menjadi manifesto peribadi yang akan dilaksanakannya sekiranya diberi mandat pada 26 September ini.

Beliau berkata, ia adalah isu utama dibangkitkan pengundi di DUN Tulid dan menyifatkannya sebagai satu tanggungjawab yang perlu diselesaikan serta mendakwa ia gagal ditangani sejak puluhan tahun lalu.

"Kami juga (PCS) menawarkan satu sistem kerajaan negeri yang lebih stabil bagi membawa Sabah lebih maju ke hadapan. Oleh itu besar harapan saya terutamanya kepada pengundi muda dan golongan pengundi atas pagar supaya membuat pilihan terbaik yang akan memberi pulangan kepada mereka," katanya.

DUN Tulid, turut direbut lima lagi pencabar iaitu Dahalan@Ulin Abdullah @ Amil dari Parti Liberal Demokratik (LDP), Mudi Dubing (Parti Warisan Sabah), Flovia Ng (Perikatan Nasional-STAR) , Mohamad Khairy Abdullah (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu - Usno), dan Suman Yasambun (Parti Bersatu Sabah - PBS).

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 1:19 PM