Dr Aman Rabu (dua dari kanan) menerima 10,000 pelitup muka daripada Pengurus Pembangunan Perniagaan Durio PPE Sdn Bhd, Kong Kian Hao (dua dari kiri) pada program penyerahan pelitup muka di Lobi Bangunan Poliklinik Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Dr Aman Rabu (dua dari kanan) menerima 10,000 pelitup muka daripada Pengurus Pembangunan Perniagaan Durio PPE Sdn Bhd, Kong Kian Hao (dua dari kiri) pada program penyerahan pelitup muka di Lobi Bangunan Poliklinik Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Pengilang pelitup muka dan fabrik 'melt blown' di Malaysia, Durio PPE Sdn Bhd, mengagihkan 10,000 pelitup muka bagi kegunaan petugas barisan hadapan menerusi program berkenaan di lobi bangunan Poliklinik Hospital Sultanah Aminah dekat sini, hari ini.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Durio PPE Sdn Bhd Kong Kian Hao berkata, inisiatif itu antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi menzahirkan penghargaan kepada golongan berkenaan terutama dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Katanya, 1.5 juta produk pelitup muka dihasilkan dalam sehari untuk pasaran tempatan.

Pada masa sama, katanya, 20 peratus daripada jumlah itu akan disalurkan kepada petugas barisan hadapan di seluruh Malaysia.

"Sehingga kini, lebih 30 syarikat pengeluar pelitup muka di seluruh negara beroperasi susulan pandemik Covid-19 dan ini menunjukkan terdapat permintaan tinggi terhadap keperluan pelitup muka.

"Adalah menjadi tanggungjawab kami dalam menghasilkan pelitup muka yang berkualiti, berpatutan dan mencukupi untuk pengguna di negara ini, selain mengurangkan kebergantungan produk import," katanya ditemui selepas program penyerahan yang disempurnakan oleh Pengarah Kesihatan Johor Dr Aman Rabu.

Kian Hao berkata, sehingga kini, pihaknya sudah mengagihkan pelitup muka kepada sekolah seperti untuk program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan (SK) Gas Sandakan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pandan, SJKC Foon Yew 5 selain Pusat Kiwanis CareHeart.

Sementara itu, Aman berterima kasih kepada syarikat korporat yang turut sama memainkan peranan memastikan penularan Covid-19 dapat dikekang.

Katanya, sememangnya perlindungan diri perlu diutamakan oleh golongan itu di saat mereka berdepan risiko dalam menjaga keselamatan rakyat mahupun negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 3:53 PM