PEGAWAI polis berpangkat Inspektor dan dua Koperal direman tujuh hari di Mahkamah Alor Setar bermula hari ini. FOTO Hifzuddin Ikhsan
PEGAWAI polis berpangkat Inspektor dan dua Koperal direman tujuh hari di Mahkamah Alor Setar bermula hari ini. FOTO Hifzuddin Ikhsan
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Seorang pegawai dan dua anggota polis direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar Noor Liyana Abd Rahim selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketiga-tiga mereka berusia 33 tahun itu ditahan antara 1.05 pagi hingga 1.10 pagi hari ini di Pejabat SPRM Kedah ketika memberi keterangan berhubung siasatan kes terbabit.

Pada 16 Julai lalu, seorang pegawai berpangkat Inspektor dan dua Koperal yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar melakukan pemeriksaan di sebuah rumah disyaki didiami pengedar dadah.

Bagaimanapun, tiada dadah ditemui di rumah terbabit menyebabkan mereka didakwa meminta wang RM8,000 sebagai dorongan tiada tindakan lanjut diambil terhadap individu berkenaan.

Mereka juga didakwa meminta wang perlindungan sebanyak RM6,000 secara bulanan terhadap individu terbabit bagi memastikan tiada tindakan diambil ke atasnya pada masa hadapan.

Difahamkan, sejumlah RM3,800 sudah diserahkan kepada mereka dan sejumlah RM4,000 sepatutnya diserahkan kepada tiga suspek suspek semalam sebelum mereka ditahan anggota SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas tiga penjawat awam terbabit dan mereka disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 3:06 PM