SPRM
SPRM
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan sudah mengambil dokumen berkaitan pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) pagi tadi.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, pihaknya turut berjumpa pihak pengurusan syarikat utiliti berkenaan bagi bertanya maklumat berkaitan pembelian kenderaan terbabit.

Katanya, SPRM juga tidak melakukan serbuan ke atas SADA, malah tiada kakitangan syarikat itu ditahan setakat ini.

"Kalau ada yang mendakwa kami lakukan serbuan, itu tidak betul. Pegawai kami ke sana hanya untuk melakukan penyelidikan awal setelah isu tersebut tular di media sosial.

"Segalanya masih di peringkat awal dan setakat ini tiada apa yang boleh saya maklumkan," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Sebelum ini, SADA dikatakan melakukan pembelian Toyota Vellfire berharga RM345,000 bagi kegunaan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi SADA.

Bagaimanapun, syarikat terbabit pada Khamis lalu, menafikan Muhammad Sanusi terbabit dalam pembelian kenderaan bernombor pendaftaran KEP5000 berikutan keputusan pembeliannya dibuat pengurusan tertinggi.

Shaharom Nizam berkata, pihaknya sudah mengambil beberapa dokumen berkaitan pembelian kenderaan terbabit bagi diteliti.

"Kita hanya jumpa pihak pengurusan untuk bertanya beberapa perkara, saya harap tiada pihak buat sebarang spekulasi.

"Kunjungan SPRM dibuat atas inisiatif sendiri selepas isu ini tular di media sosial. Tiada pihak membuat laporan tampil membuat laporan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 9:51 PM