GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 72 individu kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 70 individu dikompaun, seorang direman manakala satu lagi individu dijamin.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (20), gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (24), premis beroperasi lebih masa (1), penjarakan fizikal (26) dan lari dari pusat kuarantin (1).

"Pasukan Khas Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM juga membuat 58,047 pemeriksaan semalam bagi memantau dan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, menerusi Op Benteng yang dilaksanakan seramai empat tekong dan 25 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan.

"Selain itu, sebanyak 79 sekatan jalan raya juga dilaksanakan.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Berkaitan kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, 24,961 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 70 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah serta Labuan.

"Daripada jumlah itu, 9,887 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 15,008 individu sudah discaj dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 3:02 PM