Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Malaysia tidak akan terburu-buru menyertai pelan peruntukan vaksin Covid-19 global (Covax), biarpun sudah terdapat 76 negara mengesahkan penyertaan dalam pelan itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Malaysia mempunyai pendirian dan tidak tergesa-gesa berikutan perlu mempertimbangkan beberapa perkara termasuk pendekatan berdasarkan sains diplomasi membabitkan pembangunan vaksin dari negara luar.

"Kita perlu melihat kepada keberkesanan vaksin dan memastikan ia selamat kerana ini perlu diutamakan, selain itu kita ada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau dikenali sebagai Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) yang menilai penyertaan Malaysia dalam Covax perlu atau tidak.

"Justeru, sertai atau tidak yang pastinya kita tidak akan terburu-buru melihat perkara ini kerana walaupun tiada vaksin, kita sudah mampu melandaikan jangkitan sehingga satu digit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penyerahan projek Klinik Kesihatan Tahap 2 Batu Muda, di sini, hari ini.

DR Adham melawat bilik rawatan ketika majlis penyerahan Klinik Kesihatan Batu Muda di Taman Batu Muda, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
DR Adham melawat bilik rawatan ketika majlis penyerahan Klinik Kesihatan Batu Muda di Taman Batu Muda, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Dr Adham berkata, pihaknya kini memberi tumpuan kepada kes import dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

"Kita akan uji mereka di pintu sempadan masuk antarabangsa dan berharap dengan ujian ini kita dapat membendung penularan masuk melalui import, selain kita ada menyekat rakyat negara luar seperti diumumkan Menteri (Kanan) Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya.

Baru-baru ini, sebanyak 76 negara dilaporkan komited untuk menyertai pelan Covax diketuai bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyasarkan untuk membantu pembelian dan edaran bekalan yang lebih bersifat adil.

Covax kini disertai Jepun, Jerman, Norway dan lebih 70 negara lain yang bersetuju secara prinsip bagi mendapatkan vaksin Covid-19 untuk rakyat mereka.

Selain itu, pihak penyelaras Covax sedang mengadakan rundingan dengan China sama ada negara itu turut sama ingin menyertai pelan terbabit.

Pelan Covax yang turut diketuai oleh Pakatan Vaksin Global (GAVI), WHO dan Gabungan bagi Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI), dibentuk bagi mencegah negara daripada membolot vaksin Covid-19 di pasaran, selain memfokuskan untuk mengutamakan vaksin kepada golongan berisiko tinggi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 12:54 PM