MURID Tabika KEMAS Telok Gong bersemangat menyanyikan lagu Warisan bersama-sama guru dan ibu masing-masing. FOTO Hassan Omar
MURID Tabika KEMAS Telok Gong bersemangat menyanyikan lagu Warisan bersama-sama guru dan ibu masing-masing. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

TITISAN air mata guru dan ibu ketika menyanyikan lagu Warisan mewarnai sambutan Hari Kebangsaan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Telok Gong, Kuala Sungai Baru, dekat Alor Gajah, hari ini.

Lagu yang dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad sekitar tahun 1980-an itu amat menyentuh nurani mereka menyebabkan mereka tidak mampu menahan kesedihan ketika menyanyikannya bersama-sama 14 murid tabika berkenaan.

Guru, Kamariah Md Noor, 58, berkata alunan muzik dan lirik lagu berkenaan amat menyentuh hati beliau dan kira-kira 10 ibu murid terbabit hingga menyebabkan air mata mereka mengalir.

"Lagu ini sangat menyentuh kalbu kerana ia menceritakan mengenai seseorang yang mengaku bukan seorang perwira negara, tetapi dia rela berjuang demi nusa dan bangsa.

"Saya sendiri tidak mampu menahan kesedihan apabia menyanyikannya bersama murid dan ibu mereka dan saya berharap anak-anak ini mampu menjadi insan yang mampu berbakti untuk agama, bangsa dan negara apabila dewasa kelak," katanya ketika ditemui di tabika berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi tabika itu, Mohd Ali Hanafiah.

Selain menyanyikan lagu berkenaan, program itu turut dihiasi dengan nyanyian koir murid dan deklamasi puisi kemerdekaan.

Mohd Ali berkata, 11 murid lelaki dan tiga murid perempuan bersama-sama ibu masing-masing bersemangat menyanyi sambil mengibarkan Jalur Gemilang sebagai bukti kasih mereka kepada tanah air.

"Saya gembira dan berbangga melihat anak-anak kecil menyanyi dengan penuh semangat sambil mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda mereka sayang negara ini.

"Semangat patriotik seumpama ini harus ditanam dalam jiwa mereka sejak kanak-kanak kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya," katanya.

Guru, Haslinawati Ibrahim, 39, berkata beliau berbangga murid dan ibu masing-masing memiliki semangat kebangsaan tinggi yang menyebabkan mereka menitiskan air mata ketika menyanyikan lagu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 3:50 PM