DUA senjata api yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
DUA senjata api yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin

PEREBUTAN kuasa sebagai pengerusi persatuan pengurusan di sebuah kuil di Sea Park, Petaling Jaya, dipercayai menjadi punca pertelingkahan antara dua individu yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita yang mendakwa diugut lelaki dikenalinya di tempat letak kenderaan awam berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 5.30 petang kelmarin.

"Suspek dikatakan bertengkar dengan suami mangsa dan mengugut hingga menimbulkan ketakutan kepada wanita berkenaan serta suaminya sebelum pertengkaran itu turut dirakam serta tular di media sosial.

"Siasatan awal mendapati perselisihan faham yang berlaku antara dua individu iaitu pengerusi baharu persatuan pengurusan kuit terbabit (suspek) dengan pengerusi lama di sebuah kuil di Sea Park," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya menerima dua laporan polis dibuat pengerusi lama persatuan kuil terbabit yang dibuat di Balai Polis Sea Park pada 13 Ogos lalu.

"Hasil maklumat diterima, kami melakukan tangkapan terhadap suspek berusia 41 tahun di kawasan Sea Park pada 3.15 pagi semalam dan merampas dua senjata api bersama lapan peluru yang ditemui di pejabatnya di Balakong, Cheras, Selangor, pada hari sama.

"Semakan mendapati suspek mempunyai lesen senjata api sah dikeluarkan IPD Kajang," katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama sehari untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

"Bagaimanapun, suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis kerana reman diperoleh sudah tamat tetapi dua pistol yang dirampas masih dalam simpanan polis.

"Kami mencadangkan supaya kelulusan senjata api suspek dikaji semula atas kepentingan dan keselamatan awam," katanya.

Katanya, pihak polis masih meneruskan siasatan ke atas kedua-dua pihak yang bertelagah termasuk meneliti pembabitan serta pengaruh Geng 21, Geng 08 dan Geng 04 dalam pertelingkahan itu.

"Jika terbukti, tindakan pencegahan akan menyusul. Pada masa sama, kami akan melengkapkan kertas siasatan dan merujuknya kepada pihak pendakwa raya dalam tempoh terdekat.

"Sebelum ini, ada mesej tular menerusi Whatsapp yang mendakwa suspek terbabit dengan Geng 04, mengawal semua projek pembinaan, kelab malam, pusat urut dengan meminta wang perlindungan dan mendakwanya mendapat sokongan serta kerjasama polis IPD Petaling Jaya dalam semua kegiatannya.

"Justeru, kami menyeru kepada mana-mana individu yang menyebarkan mesej tular itu supaya tampil bertemu saya bagi menyalurkan maklumat berhubung dakwaan berlakunya pembabitan polis," katanya.

Beliau berkata, tindakan itu adalah supaya berlaku adil kepada pihak yang mendakwa serta pihak didakwa iaitu polis Petaling Jaya.

"Saya memandang serius dakwaan ini dan siasatan yang telus akan dijalankan termasuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat pembabitan serta salah laku mana-mana pegawai dan anggota polis di daerah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 11:28 AM