ANGGOTA penguat kuasa MPS menyita lebih 1,000 botol minuman keras tanpa lesen di dua premis di Taman Seri Gombak, Selayang, kelmarin. FOTO Ihsan MPS
ANGGOTA penguat kuasa MPS menyita lebih 1,000 botol minuman keras tanpa lesen di dua premis di Taman Seri Gombak, Selayang, kelmarin. FOTO Ihsan MPS
Nurul Hidayah Bahaudin

LEBIH 1,000 botol minuman keras tanpa lesen di dua premis di Taman Seri Gombak, Selayang, disita dalam serbuan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), kelmarin.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, pemeriksaan mendapati, sebahagian botol arak yang dirampas juga tidak mempunyai kebenaran import daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan dokumen kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih 1,000 botol arak yang tidak mempunyai lesen di dua kedai berkenaan.

"Malah, pemeriksaan lanjut juga mendapati kedua-dua premis terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.

"Tindakan sitaan itu dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil 3(1) Perlesenan Establisymen Makanan (MPS) 2007," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam serbuan berasingan, Mohamad Zin berkata, pihaknya menyita meja dan kerusi di dua restoran di Taman Selayang Jaya yang diletakkan di kawasan kaki lima dan parkir kereta, kelmarin.

Dalam operasi yang dijalankan, 37 meja dan 134 kerusi plastik disita di kedua-dua restoran berkenaan.

"Tindakan tidak bertanggungjawab pemilik restoran terbabit menyebabkan kacau ganggu dan kesesakan lalu lintas yang teruk kepada penduduk sekitar selain dikhuatiri membahayakan nyawa pelanggan," katanya.

ANTARA botol minuman keras tanpa lesen yang disita. FOTO Ihsan MPS
ANTARA botol minuman keras tanpa lesen yang disita. FOTO Ihsan MPS

Katanya, tindakan sitaan yang dikenakan ke atas pemilik restoran itu dibuat selaras Sekyen 46(1)d Akta Parit dan Bangunan 1974.

"Untuk makluman, pengusaha restoran hanya boleh meletakkan kerusi dan meja dengan jumlah yang terhad supaya tidak menyebabkan kacau ganggu.

"Pada masa sama, setiap pengusaha restoran juga perlu mempunyai pelekat permit kebenaran daripada MPS di kawasan hadapan kedai masing-masing," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada peniaga supaya memastikan perniagaan mereka perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan.

"MPS juga akan melakukan pemantauan berterusan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 12:34 PM