OPERASI bagi memastikan peniaga mematuhi harga baharu. FOTO ihsan KPDNHEP
OPERASI bagi memastikan peniaga mematuhi harga baharu. FOTO ihsan KPDNHEP
Siti Rohana Idris


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Kelantan sudah menjalankan 105 pemeriksaan sempena arahan terbaharu yang menetapkan harga siling pelitup muka tiga lapis di peringkat runcit diturunkan kepada RM1 seunit.

Pemeriksaan itu dilakukan bermula tarikh dikuatkuasa iaitu 15 Ogos lalu sehingga semalam membabitkan peruncit di seluruh negeri ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, setakat empat hari pemeriksaan dilakukan, rata-rata peniaga sudah mengetahui arahan terbabit dan akur dengan harga terbaharu.

"Setakat ini majoriti peruncit menjualnya pada harga yang ditetapkan iaitu RM1 seunit manakala harga borong pula 95 sen seunit.

"Jika terdapat peniaga yang masih menjual pada harga lama iaitu RM1.50, pihak kami memberikan amaran dan menggunakan budi bicara kerana mungkin mereka ingin menghabiskan stok lama yang dibeli pada harga terdahulu.

"Bagaimanapun tempoh itu hanya diberikan setakat hujung bulan ini sahaja kerana bermula 1 September, semua peruncit perlu mematuhi harga baharu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azanizam berkata, secara keseluruhan, bermula 29 Januari hingga semalam, 5,238 pemeriksaan berkaitan pelitup muka di peringkat peruncit sudah dibuat.

Daripada jumlah itu, empat aduan diterima, dua amaran diberikan dan dua kes sudah diambil tindakan.

"Dua kes yang diambil tindakan ialah pembelian bersyarat oleh premis farmasi yang menerima kompaun RM1,000.

"Satu lagi kes berhubung kesalahan tiada tanda harga membabitkan gedung pakaian yang dikompaun sebanyak RM30,000," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 10:45 AM