Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, Leslie Ng bersama melancarkan promosi " Jom ! Cuti Cuti Malaysia" bersama BHpetrol  di Stesen Minyak BHpetrol Jalan Cheras 1&2, Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, Leslie Ng bersama melancarkan promosi " Jom ! Cuti Cuti Malaysia" bersama BHpetrol di Stesen Minyak BHpetrol Jalan Cheras 1&2, Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Rosyahaida Abdullah


PENDAPATAN sektor pelancongan domestik negara mencatatkan peningkatan 11.5 peratus pada tahun lalu, menjadikan RM103.2 bilion berjaya direkodkan berbanding hanya RM92.6 bilion pada 2018.

Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Musa Yusof berkata, berdasarkan data diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah kekerapan pelancongan tempatan turut meningkat 8.1 peratus kepada 239.1 juta pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah itu kata beliau secara tidak langsung menunjukkan kepentingan untuk sektor itu terus diberi tumpuan khusus bagi memacu semula ekonomi pelancongan yang menjana pendapatan tinggi buat negara.

"Bayangkan jumlah pendapatan pelancongan yang dibawa dari luar negara pada tahun lalu adalah RM86 bilion, jumlah ini lebih rendah berbanding pendapatan diperoleh daripada pelancong domestik yang melebihi RM100 bilion. Kebiasaannya kita meletakkan sasaran peningkatan sekitar lima hingga 10 peratus saja.

"Daripada segi komponen perbelanjaan pula, data menunjukkan 37.8 peratus tertumpu kepada aktiviti membeli-belah diikuti 15 peratus untuk petrol manakala selebihnya adalah perbelanjaan makanan dan minuman, penginapan, pengangkutan dan sebagainya.

"Disebabkan itu, kita giat mempromosikan apa saja inisiatif yang menggalakkan pelancongan domestik bagi merancakkan kembali sektor ini memandangkan pelancongan adalah industri paling awal terjejas dan paling lambat pulih akibat Covid-19," katanya.

Mengulas lanjut, Musa menjelaskan, sebanyak 13 prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi industri pelancongan yang antara lain bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat untuk terus melancong dalam negara.

Malah katanya, menerusi strategi libat urus yang dibuat di seluruh negara, pemain industri pelancongan di negara ini diberi maklumat menyeluruh mengenai setiap perkara berkaitan yang boleh mengukuhkan perniagaan mereka.

"Walaupun perkara ini dilihat sebagai sektor domestik tetapi SOP semestinya mengikut ketetapan antarabangsa dan ini jugalah yang dilaksanakan di semua hotel misalnya, jadi jangan pula salahkan mereka jika mereka mengamalkan SOP sebagaimana sepatutnya.

"Kini sesi libat urus ekonomi pelancongan juga dipergiat di mana kita bawa persatuan bank untuk sama-sama memberi penerangan kepada pemain industri mengenai Penjana dan sebagainya," katanya.


Terdahulu, Musa merasmikan Majlis Pelancaran Peraduan Jom! Cuti-Cuti Malaysia di stesen minyak BHPetrol di Jalan Cheras 1&2 di Kuala Lumpur.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, Leslie Ng.

Musa berkata, program itu sejajar usaha pihaknya dalam mempelbagaikan promosi bagi merancakkan kembali ekonomi pelancongan yang terjejas teruk sejak krisis Covid-19 bermula di China lagi.

"Sebab itu kita buat kerjasama strategik begini, tidak semestinya keluarkan peruntukan dalam bentuk tunai saja sebaliknya kita gunakan 'slot' dalam media massa seperti televisyen dan sebagainya untuk promosikan kempen," katanya.

Sementara itu, Leslie berkata, menerusi program itu, pakej percutian domestik bernilai RM4,000 setiap satu menanti 30 pemenang bertuah dengan hanya membelanjakan minimum RM30 bagi pembelian petrol atau barangan runcit di mana-mana stesen minyak BHPetrol di seluruh negara.

Katanya, pelanggan hanya perlu meleret eCard masing-masing atau menggunakan aplikasi berkenaan ketika melakukan pembelian tanpa perlu mengisi sebarang borang untuk tujuan penyertaan.

"Kita mengalu-alukan orang ramai menyertai kempen ini dengan berbelanja di stesen minyak BHPetrol mulai hari ini (Selasa) hingga 26 Oktober depan.

"Selain pakej percutian, turut tersedia adalah hadiah sagu hati berupa 10,000 mata ganjaran ePoints dan baucar tunai BHPetrol bernilai RM1,000 setiap satu selain 30 hadiah mingguan berupa penginapan percuma di rangkaian Hotel Royale Chulan terpilih," katanya.

Tambahnya, pihaknya mensasarkan 1.4 juta pemegang 'eCard' fizikal akan beralih kepada aplikasi dalam talian yang memberi kelebihan dari segi jumlah penyertaan serta pelbagai tawaran menarik lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 9:31 PM