Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jangkitan baharu Covid-19 dalam negara naik 82 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 10,358 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 82 kes baharu yang dilaporkan itu, 10 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan selebihnya kes penularan tempatan.

Menurutnya, kes import itu membabitkan sembilan warganegara dan seorang bukan warganegara dari India dan Indonesia.

Bagi 72 kes penularan tempatan, katanya, sebanyak 60 kes membabitkan warganegara manakala 12 bukan warganegara.

"Di Sabah merekodkan 60 kes iaitu daripada Kluster Benteng LD (41), Kluster Pulau (6), Kluster Selamat (6), Kluster Bangau (5) dan kes saringan komuniti serta saringan rujukan ke Hospital Queen Elizabeth (2).

"Di Kedah ada 10 kes dilaporkan hari ini daripada Kluster Sungai (9) dan saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kota Setar (1).

"Di Selangor satu kes saringan sebelum pembedahan di sebuah pusat perubatan dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh serta di Sarawak satu kes saringan bergejala di Hospital Umum Sarawak," katanya ketika sidang media Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ada 168 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 9,563 kes iaitu 92.3 peratus.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 665 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto NSTP
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto NSTP

"Sehingga kini, sembilan pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 130 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 5:37 PM