ISMAIL Sabri (dua dari kiri) bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaini Aziz (kiri) beramah mesra bersama peniaga kedai runcit ketika mengadakan lawatan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, di Tapak Pasar Pagi di Pekan Slim River, hari in. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
ISMAIL Sabri (dua dari kiri) bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaini Aziz (kiri) beramah mesra bersama peniaga kedai runcit ketika mengadakan lawatan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, di Tapak Pasar Pagi di Pekan Slim River, hari in. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Noor Hidayah Tanzizi


TIADA keperluan untuk mengurangkan kadar denda RM1,000 bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka kerana kompaun boleh dikurangkan melalui budi bicara di mahkamah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap denda dan hukuman dikenakan tidak kira mengikut akta mana sekali pun, pesalah masih boleh membuat rayuan.

"Setiap denda ini tidak kiralah dalam mahkamah dan sebagainya, cuma meletakkan denda maksimum, mereka (orang yang didenda) masih lagi boleh merayu untuk mendapatkan pengurangan.

"Dalam mahkamah, hakim mempunyai budi bicara untuk mengurangkan hukuman, begitu juga dengan kompaun RM1,000 dikenakan. Mereka (orang yang didenda) boleh merayu untuk mendapatkan pengurangan," katanya selepas program santai melukis mural di Pasar Slim River Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Slim, Slim River, hari ini.

Ismail Sabri berkata, akta kesalahan itu (Akta 342) tidak perlu dipinda kerana untuk meminda akta memerlukan masa dan dibawa ke sidang Parlimen.

"Saya rasa tidak perlu kita meminda akta berkenaan kerana ia memerlukan masa sedangkan kes (Covid-19) sedang berlaku dan tindakan perlu dilakukan.

"Kalau mahu meminda ia akan mengambil masa, berapa lama kita mahu tunggu, jadi kita teruskan apa yang sudah ada," katanya.

Pada Khamis lalu, media melaporkan Ahli Parlimen mencadangkan supaya denda RM1,000 kesalahan ingkar tidak memakai pelitup muka diturunkan bagi meringankan beban rakyat terutama keluarga berpendapatan rendah.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) dilaporkan berkata, pihaknya menyokong denda dikenakan terhadap individu ingkar, namun kadar dikenakan mestilah munasabah dan tidak membebankan.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 12:46 PM