FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pelbagai aspek termasuk kos dan faedah ekonomi perlu diambil kira dan diteliti sekiranya Malaysia mahu melaksanakan aturan waktu kerja fleksibel seperti negara jiran, Singapura.

Anak Malaysia yang berkhidmat sebagai Ketua Buruh Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, cadangan pengaturan waktu kerja fleksibel memerlukan penelitian dari sudut ekonomi dengan beberapa parameter perlu diambil kira sebelum sebarang ketetapan dan pelaksanaan diputuskan.

"Dari segi implikasi produktiviti, produktiviti buruh negara kita masih berada pada tahap sederhana jadi walaupun jadual fleksibel dapat meningkatkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan serta kepuasan pekerja, ia juga boleh mempengaruhi tahap produktiviti syarikat berkenaan dan syarikat lain di sepanjang rantaian perbekalan.

"Pada masa sama, produktiviti pekerja tidak boleh lagi diukur dengan menggunakan kaedah sedia ada jika pengaturan waktu kerja fleksibel digunakan. Ini bermakna, transformasi kaedah pengukuran produktiviti daripada berasaskan jam bekerja kepada berasaskan 'output' pengeluaran diperlukan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pekerja di Malaysia boleh memohon aturan kerja fleksibel kepada majikan masing-masing mengikut masa, hari dan lokasi bekerja.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, tempoh masa kerja fleksibel boleh dilaksanakan dalam pelbagai sektor, namun kebolehlaksanaan dan keberkesanan mungkin berbeza bergantung kepada sifat kerja dan dinamika industri.

"Secara amnya, sektor membabitkan kerja berdasarkan pengetahuan lebih sesuai untuk pengaturan kerja yang fleksibel seperti perkhidmatan teknologi maklumat (IT) dan pembangunan perisian, perkhidmatan profesional dan pendidikan.

"Di sisi lain, sektor membabitkan kerja fizikal, kehadiran di tempat atau keperluan operasi yang ketat mungkin menghadapi cabaran dalam melaksanakan jam kerja fleksibel seperti sektor pembuatan, penjagaan kesihatan, peruncitan dan hospitaliti serta pengangkutan dan logistik.

"Selain itu, kita perlu pertimbangkan dinamika pasaran buruh dan landskap persaingan dalam industri. Jam kerja fleksibel boleh membantu sebagai 'adjuster' dalam industri yang menghadapi kekurangan buruh atau persaingan sengit untuk bakat," katanya.

Katanya, analisis kos dan manfaat perlu dilaksanakan bagi menilai implikasi kewangan untuk penerapan jam kerja fleksibel selain mempertimbangkan faktor seperti bayaran lebih masa, kos pentadbiran dan pelaburan yang diperlukan dalam teknologi mahupun infrastruktur untuk menyokong inisiatif ini.

"Bandingkan kos ini dengan manfaat potensi seperti pengurangan ketiadaan, kadar pusingan kerja lebih rendah dan peningkatan moral pekerja kerana perbandingan ini membolehkan kerajaan mengintai kewujudan ruang kepada peningkatan gaji jika kos operasi berkurangan.

"Kerajaan juga boleh mempertimbangkan projek rintis terlebih dahulu dengan sektor kerajaan dijadikan sebagai ujian eksperimentasi.

"Di UAE misalnya, kakitangan kerajaan persekutuan bekerja empat hari setengah dalam seminggu tetapi kami tiada peruntukan masa rehat untuk minum pagi dan makan tengah hari jadi adakah kakitangan kerajaan di Malaysia bersedia untuk melakukan perubahan ini?" katanya.

Justeru, beliau berpandangan, masih terlalu awal untuk Malaysia melaksanakan pengaturan waktu kerja fleksibel secara berskala besar.

"Saya tidak pasti apakah kenyataan masalah yang ingin diselesaikan pengaturan waktu kerja fleksibel kerana negara kita masih berdepan dengan situasi tahap produktiviti buruh yang sederhana.

"Justeru, pelaksanaan pengaturan waktu kerja fleksibel dijangka tidak memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan produktiviti buruh," katanya.

Rabu lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dilaporkan berkata, pekerja di Malaysia boleh mengemukakan permohonan itu kepada majikan mereka berdasarkan Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955.

Selepas permohonan diserahkan, katanya, majikan perlu memberi maklum balas dalam tempoh 60 hari dan sekiranya ditolak, majikan harus memberikan alasan.

Sebelum ini, Singapura antara negara bakal melaksanakan perkara itu apabila Perikatan Tiga Pihak untuk Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep), agensi Kementerian Tenaga Manusia, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF), mengumumkan Garis Panduan Tiga Pihak mengenai Permintaan Susunan Kerja Fleksibel.

Media antarabangsa juga melaporkan, pengaturan kerja fleksibel itu boleh dimohon semua pekerja di Singapura mulai 1 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 3:54 PM