EMPAT anggota polis dibawa ke mahkamah atas tuduhan menerima rasuah. FOTO Mohd Yusni Ariffin
EMPAT anggota polis dibawa ke mahkamah atas tuduhan menerima rasuah. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Nurul Amanina Suhaini


EMPAT anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas pertuduhan meminta dan menerima suapan rasuah berjumlah antara RM1,400 hingga RM7,000 pada April 2018.

Koperal Mohd Shahir Ahmad Dewi, 33, berdepan dengan tiga pertuduhan manakala Konstabel Mohamad Zulhisham Zulkafli, 29, Koperal Muhammad Azim Muhammad Adnan, 34, dan Lans Koperal Mohamed Syukur Gulam Mohamed, 30, masing-masing berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16a (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh ketika dalam perjalanan dari Balai Polis Kangkar Pulai ke Balai Polis Gelang Patah secara rasuah meminta untuk diri sendiri iaitu suatu suapan wang tunai berjumlah RM7,000 daripada dua lelaki berusia 40 dan 42 tahun yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah, pada 10 April 2018, kira-kira jam 11 malam.

Keempat-empat tertuduh juga didakwa secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri iaitu suatu suapan wang tunai berjumlah RM1,600 daripada daripada lelaki berusia 40 tahun sebagai dorongan untuk tidak melakukan perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal iaitu melepaskannya bersama seorang lagi lelaki berusia 42 tahun yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah, di hadapan rumah di Kampung Baru Kangkar Pulai, pada 11 April 2018, kira-kira 4 pagi.

Mengikut pertuduhan Mohd Shahir pula, tertuduh ketika di hadapan sebuah restoran di Jalan Meranti 2, Taman Sri Pulai, secara rasuah cuba memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM1,400 daripada daripada lelaki berusia 40 tahun sebagai dorongan untuk tidak melakukan perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal iaitu melepaskannya bersama seorang lagi lelaki berusia 42 tahun yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah, pada 12 April 2018, jam 12.15 tengah malam.

Hakim Kamarudin Kamsun kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta dua syarat tambahan iaitu melaporkan diri di Pejabat SPRM setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah, selain menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Johor, Yunus Mohamed, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Nor Shahid Abd Malik dan Mohd Hamizi Mohd Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 11:29 AM