DUA tertuduh diiringi polis ke kamar  Mahkamah Sesyen Balik Pulau.
DUA tertuduh diiringi polis ke kamar Mahkamah Sesyen Balik Pulau.

Balik Pulau: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, dekat sini, atas tiga tuduhan menerima rasuah daripada orang awam.

Tertuduh, Koperal Mohd Yusni Abu Kassim, 37, dan Lans Koperal Rashid Abdul Razak, 28, dari Balai Polis Bayan Baru, di sini, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mohd Yusni dan Rashid dituduh meminta rasuah RM3,000 daripada seorang lelaki, Ch’ng Kean Beng, di hadapan Kompleks Pasar dan Balai Rakyat Bayan Baru di sini, kira-kira jam 3 pagi, pada 11 April 2015.

Selain itu, kedua-dua anggota polis terbabit dituduh menerima rasuah berjumlah RM1,500, manakala bagi pertuduhan ketiga, mereka dituduh menerima rasuah bernilai RM1,400 daripada Kean Beng di Balai Polis Bayan Baru di sini, kira-kira jam 3.15 pagi, 11 April lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa menerima suapan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Kean Beng yang dikatakan mempunyai rekod kesalahan lampau.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan, dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24, akta sama, iaitu dipenjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Bagaimanapun, Mohd Yusni yang tidak diwakili peguam merayu jaminan ditawarkan pendakwaan dikurangkan atas alasan tidak mempunyai pekerjaan, selain dia adalah bapa tunggal yang menghidap kanser serta masih menyara seorang anak yang menghidap penyakit strok.

Manakala, Rashid merayu supaya jaminan ditawarkan pendakwaan dikurangkan atas alasan tidak mempunyai pekerjaan, selain masih menyara ibu, bapa, isteri dan dua anaknya.

Sitarun Nisa membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM5,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes.

Dalam kes berlainan, seorang lelaki, Ng Siang Gim, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuba memberi rasuah kepada seorang anggota polis supaya tidak melaporkan kesalahan seks luar tabii dalam sebuah kereta, di Lorong Abbas, Tanjung Bungah di sini, kira-kira jam 10.30 malam, pada 7 Oktober lalu.

Siang Gim dituduh cuba menawarkan rasuah RM100 kepada Lans Koperal Muhammad Norzulkhairee Md Akhir, sebagai dorongan supaya tidak melaporkan kesalahan seks luar tabii bersama pasangannya itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya jaminan ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan atas alasan mengalami masalah kewangan, selain menyara ibu, bapa, isteri dan tiga anaknya.

Sitarun Nisa membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(B), Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(a), Akta SPRM 2009, dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24, akta sama, iaitu dipenjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 6:35 AM