WAN ROSDY (dua dari kanan) dan Fadillah Yusof  (dua dari kiri) sedang melancarkan  laluan Seksyen 3E1 antara Mentara dan Merapoh, sepanjang 5.8 KM yang telah siap. FOTO ROSELAN AB MALEK
WAN ROSDY (dua dari kanan) dan Fadillah Yusof (dua dari kiri) sedang melancarkan laluan Seksyen 3E1 antara Mentara dan Merapoh, sepanjang 5.8 KM yang telah siap. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


PEMBUKAAN laluan projek 'Central Spine Road' (CSR) Pakej 3 dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Lipis, Pahang bagi Seksyen 3E1 antara Mentara dan Merapoh sepanjang 5.8 kilometer dapat meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat menerusi penyediaan infrastruktur berkualiti ke kawasan luar bandar.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia turut memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya kedua-dua negeri menikmati kemudahan disediakan kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, laluan itu dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas atas jalan Persekutuan sedia ada terutama pada musim perayaan dan cuti persekolahan.

"Diharapkan dengan pembukaan laluan ini, pengguna dapat memanfaatkan sepenuhnya kerana ia lebih selesa dan memendekkan perjalanan seterusnya meningkatkan laluan ke Pantai Timur.

"Selain itu, ia menjimatkan masa dari Kota Bharu ke Kuala Krai, seterusnya memasuki laluan CSR daripada tujuh jam kepada empat jam setengah dan jarak perjalanan daripada 452km kepada 418km sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Laluan Projek CSR Seksyen 3E1: Mentara ke Merapoh bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, hari ini.

Menurutnya, projek bernilai keseluruhan RM8.7 bilion itu membabitkan enam pakej iaitu pakej 1 dari Kuala Krai – Jambatan Sungai Lakit, Kelantan sepanjang 47km dengan kos RM 1.1 bilion; pakej 2 dari Jambatan Sungai Lakit–Gua Musang, Kelantan (59.6km) dengan kos RM1.4 bilion dan pakej 3 dari Gua Musang–Kampung Relong, Lipis (93.8km) dengan kos RM2.1 bilion.

Katanya, pakej 4 dari Kampung Relong–Raub (44.6km) dengan kos RM1.3 bilion; pakej 5 dari Raub–Bentong (54.1km) dengan kos RM1.2 bilion dan pakej 6 dari Bentong ke Simpang Pelangai sejauh 47.5km dengan kos RM1.6 bilion.

"Kita berharap ia dapat mengurangkan risiko kemalangan kerana menurut rekod 2010 hingga 2014, berlaku lebih 400 kemalangan antara laluan lama dari Mentara ke Kuala Lipis.

"Pada masa sama, kami turut mengekalkan ekosistem hidupan liar setempat dengan pembinaan 'eco-viaduct' dekat kawasan Sungai Yu.

"Projek CSR membabitkan pembinaan lebuh raya empat lorong, dua lorong sehala sepanjang 346.6km dari Kuala Krai, Kelantan hingga ke Simpang Pelangai, Bentong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 7:16 PM