LIM (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Melvin Joni
LIM (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


CUBAAN berani dua lelaki menyeludup 11 kilogram methamphetamine melalui Lapangan Terbang Miri gagal apabila dapat dikesan polis, Rabu lalu.

Kedua-duanya ditangkap sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri sekitar 7.45 petang pada hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, penahanan itu dilakukan selepas mendapati suspek dalam keadaan mencurigakan ketika tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Miri sebelum mereka ditahan.

"Hasil pemeriksaan bagasi mendapati ada enam bungkusan plastik mampat mengandungi dadah methamphetamine dianggarkan seberat enam kilogram.

"Satu lagi bagasi pula berisi dadah jenis sama dianggarkan seberat lima kilogram," katanya dalam sidang media, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, suspek bersama dadah berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek masing-masing positif ganja dan methamphetamine.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kedua-dua suspek sudah direman selama tujuh hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 10:16 PM