SUSPEK ditahan malam semalam. FOTO MELVIN JONI
SUSPEK ditahan malam semalam. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


SEAKAN tidak serik, baharu beberapa hari keluar penjara, seorang lelaki sekali lagi ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes menceroboh kubur di Tanah Perkuburan Riam di Miri.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditangkap di kawasan pasar raya Emart Riam dalam operasi yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (JSJ IPD) Miri, 10.45 malam semalam.

"Hasil soal siasat suspek mengaku melakukan jenayah itu bersama tiga lagi rakannya yang masih bebas dan kini sedang diburu.

"Suspek baharu keluar dari penjara dan terbabit dengan penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah bekas banduan itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau dalam tempoh 2014 hingga 2018.

Menurut Lim, penangkapan suspek susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki bahawa tujuh kubur diceroboh dan dipecahkan baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 11:29 AM