PENUNTUT baru mengangkat sumpah (foto hiasan). Bilangan bisiswa BYDPA yang akan ditawarkan membabitkan 12 tempat. FOTO fail NSTP Saifullizan Tamadi
PENUNTUT baru mengangkat sumpah (foto hiasan). Bilangan bisiswa BYDPA yang akan ditawarkan membabitkan 12 tempat. FOTO fail NSTP Saifullizan Tamadi
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan membuka permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) Sesi Pengajian 2016/17 bermula 7 Mac ini.

JPA dalam kenyataan berkata, permohonan biasiswa berkenaan dibuka secara dalam talian melalui portal www.jpa.gov.my atau http://esilav2.jpa.gov.my bermula 9 pagi pada tarikh berkenaan.

Menurutnya, bilangan biasiswa yang akan ditawarkan membabitkan 12 tempat iaitu masing-masing enam bagi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan peringkat Sarjana bagi calon yang mengikuti pengajian bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-undang dan Kewangan Islam.

"Keutamaan adalah kepada calon yang mendapat keputusan akademik yang cemerlang dan mempunyai keupayaan luar biasa.

"Calon yang layak dan berjaya disenarai pendek akan melalui proses pemilihan termasuk temu duga," katanya hari ini.

Syarat kelayakan khusus ialah warga Malaysia, berusia tidak melebihi 35 tahun pada tahun memulakan pengajian, memiliki Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana diiktiraf kerajaan dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumilatif (CGPA) minimum 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya.

"Selain itu, aktif dalam kegiatan kokurikulum atau aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja kreatif dan inovatif selain mahir dalam lebih daripada satu bahasa antarabangsa.

"Syarat seterusnya sudah mendapat tempat pengajian di universiti penyelidikan tempatan atau di universiti terkemuka di dunia dan penerima BYDPA terikat untuk berkhidmat di Malaysia untuk tempoh tidak kurang dari lima tahun," katanya.

Dalam pada itu, penerima biasiswa yang sudah menamatkan pengajian di luar negara diwajibkan pulang ke tanah air selepas tamat tempoh tajaan.

Tarikh tutup permohonan dalam talian dan tarikh akhir mengemukakan borang permohonan pada 18 Mac.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi panggilan ke talian 03-88853546/ 3569/ 3879 atau mengunjungi kaunter 1Serve JPA4U di Blok C2, Kompleks C, JPA dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 9:06 PM