SERAMAI 14 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tuaran akibat terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah. FOTO AADK Tuaran
SERAMAI 14 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tuaran akibat terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah. FOTO AADK Tuaran
Recqueal Raimi


LELAKI warga emas dan anak perempuannya antara 14 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tuaran dalam serbuan ke atas sarang penagih dadah di empat lokasi di Tuaran hari ini.

Ops Cegah Bulanan bermula 10 malam tadi dan berakhir 2 pagi ini dijalankan di Mengkabong, Taman Telipok Ria, Kampung Laya-laya dan Taman Sri Rugading.

Ketua Pegawai AADK Daerah Tuaran, Asraf Hafiz Ruslan berkata, semua suspek yang ditahan berusia 19 hingga 62 tahun.

"Serbuan di tingkat empat di perumahan Taman Sri Rugading, kami dapati lima atau enam orang berjaya melarikan diri melalui koridor dan melompat turun dari bangunan.

"Bagaimanapun, dua beranak iaitu lelaki berusia 62 tahun serta anak perempuannya berusia 34 tahun berjaya ditahan," katanya dihubungi.

Menurutnya, dua beranak itu adalah penghuni rumah terbabit dan mengakui menjadikan rumah mereka sebagai 'port' menagih dadah.

"Daripada 14 (13 lelaki, seorang wanita) yang ditahan, warga emas terbabit dijamin disebabkan melebihi usia manakala anaknya turut dijamin sementara menunggu kes dibawa ke mahkamah.

"Selain itu, dua lagi lelaki didapati tiada dokumen perjalanan dan diserahkan kepada pihak polis.

"Seramai 13 individu positif dadah jenis syabu selepas diarahkan menjalani saringan awal ujian air kencing manakala kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Asraf berkata, 10 suspek ditahan reman selama14 hari bermula hari ini di Pusat Tahanan Reman AADK Papar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 2:52 PM