MOHD Hamizi (kanan) menunjukkan sebahagian barangan rampasan. FOTO Ihsan PDRM
MOHD Hamizi (kanan) menunjukkan sebahagian barangan rampasan. FOTO Ihsan PDRM
Recqueal Raimi

DUA remaja lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam 12 kes curi dan pecah rumah di dua lokasi perumahan di daerah ini sejak tahun lalu dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Telipok Lama, Tuaran, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kedua-dua suspek berusia 15 dan 16 tahun itu ditahan pada jam 12 tengah hari hasil risikan polis susulan laporan mangsa di Taman Telipok Ria dan Taman Sri Rugading.

Katanya, hasil pemeriksaan di rumah suspek, polis menemui tiga televisyen, satu tong gas, satu kipas angin, satu telefon bimbit dan dua jam tangan.

"Kedua-dua suspek tempatan ini tidak bersekolah dan pertama kali ditahan namun salah seorangnya didapati positif dadah jenis syabu.

"Bermula Januari 2019 hingga Julai lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran membuka sebanyak 41 kertas siasatan melibatkan kes pecah rumah dan dengan penahanan dua suspek ini, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tuaran menyelesaikan 12 kes," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pada 4 Mei lalu, polis turut menerima laporan berhubung kes pecah rumah di Taman Telipok Ria dipercayai berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika pengadu tiada di rumah.

"Kegiatan suspek ini kebiasaannya dijalankan tidak kira siang atau malam ketika penghuni keluar bekerja atau pulang ke kampung.

Mohd Hamizi berkata, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun serta dikenakan denda atau sebat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 7:52 PM