Gambar hiasan. Arkib NSTP.
Gambar hiasan. Arkib NSTP.
BERNAMA

SETIAP tahanan reman atau banduan yang bakal dihantar ke penjara akan menjalani pemeriksaan ujian saringan Covid-19, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, perkara itu akan diatur gerak bersama Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai usaha mencegah jangkitan wabak berkenaan dibawa dari luar ke penjara.

"Perkara ini telah dibincangkan bersama Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Seri Zulkifili Omar yang meminta polis bekerjasama dengan KKM untuk setiap tahanan reman membuat pemeriksaan Covid-19.

"Ini sahaja langkah yang boleh kami lakukan," katanya kepada pemberita selepas hadir majlis penyerahan kereta peronda baharu PDRM, di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.

Abdul Hamid berkata, banduan yang positif Covid-19 di Penjara Sungai Buloh baru-baru ini difahamkan berada di penjara itu sejak 2016 dan tidak pernah keluar atau bergaul dengan orang.

"Banduan berkenaan hanya keluar pada tiga bulan lalu untuk pergi ke mahkamah selepas itu dia dimasukkan kembali ke dalam penjara dan terus disahkan positif Covid-19, daripada mana dia terkena jangkitan (Covid-19) kami tidak pasti," katanya.

Pada Isnin lalu, media melaporkan seorang banduan bukan warganegara di penjara Sungai Buloh disahkan positif Covid-19 dan susulan itu, KKM menyaring lebih 800 banduan serta 700 kakitangan di penjara berkenaan.

Mengenai penugasan operasi Covid-19, Abdul Hamid berkata PDRM menggunakan 45 peratus keanggotaan pasukan itu untuk memberi fokus terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 6:52 PM