PATI ditahan dalam dua serbuan Ops Benteng di Johor. FOTO Ihsan ATM
PATI ditahan dalam dua serbuan Ops Benteng di Johor. FOTO Ihsan ATM
Muhaamad Hafis Nawawi


CUBAAN 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) menyeludup masuk ke negara ini gagal selepas ditahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Ops Benteng awal pagi ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan berkata, sekitar 2 pagi, pasukan bertindak hasil maklumat daripada anggota yang bertugas di menara tinjau yang mengesan kehadiran bot mencurigakan menghampiri kawasan Ladang Brunai, Bandar Penawar, Johor.

Menurutnya, pasukan dari Rejimen 61 Artileri Diraja (RAD) diketuai Kapten Mohd Farid Izaini dari Pos Tuan Sheh digerakkan membuat rondaan keselamatan di sekitar kawasan Ladang Brunai.

"Hasil tindakan pantas pasukan 61 RAD membawa kepada tangkapan 13 Pati membabitkan enam lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun dipercayai baru tiba di negara ini.

"Pasukan ini turut merampas enam telefon bimbit, tiga utas rantai emas, tiga bentuk cincin emas serta wang tunai RM1,170 dan 1.7 juta rupiah (RM544) yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM8,000," katanya.

Menurut kenyataan itu, terdahulu sekitar 10 pagi di Ladang Sungai Tengah, Bandar Penawar, Johor, pihaknya turut menahan tiga Pati membabitkan dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun dipercayai sedang menunggu bot untuk membawa mereka pulang ke Indonesia.

"Pasukan bertindak atas maklumat dari anggota bertugas di menara tinjau Ladang Sungai Tengah yang mengesan kehadiran bot asing yang mencurigakan.

"Pasukan 61 RAD diketuai Kapten Mohd Amirul Naim Mohammad Zubir diatur gerak membuat rondaan keselamatan dan berjaya menahan sebuah bot pancung," katanya.

Katanya, mereka melarikan ke kawasan hutan berhampiran sekitar Ladang Sungai Tengah namun berjaya ditangkap.

"Tangkapan itu membawa kepada rampasan bot pancung berserta enjin, tujuh buah telefon bimbit serta wang tunai RM1,550 dan 21.1 juta rupiah (RM 6, 236) yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM36,000.

"Nilai rampasan keseluruhan hasil kedua-dua tangkapan bernilai RM43,874 dan kesemua Pati akan diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian Covid-19.

"Usaha menjejaki diteruskan dengan bantuan Tim Dron dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 11:17 AM