Al-Sultan Abdullah bersama Rusdi (kanan). FOTO ihsan Istana Negara
Al-Sultan Abdullah bersama Rusdi (kanan). FOTO ihsan Istana Negara
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini berkenan berangkat ke Majlis Menghadap Perpisahan oleh Duta Besar Indonesia di Malaysia, Rusdi Kirana dan isteri, di Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan, hari ini memaklumkan, pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan bahawa Indonesia adalah sahabat akrab dan jiran yang penting dan Malaysia amat gembira jalinan hubungan diplomatik kedua-dua negara sejak 63 tahun yang lalu kini menjadi begitu istimewa, harmoni serta berada pada tahap tertinggi di semua peringkat.

Seri Paduka turut bertitah bahawa sebagai dua negara berjiran yang dekat dan pengasas ASEAN, Malaysia akan terus komited untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan Indonesia ke tahap yang lebih komprehensif.

"Seri Paduka berharap agar kerjasama sedia ada khususnya hubungan ekonomi dua hala dapat diperkukuhkan dan usaha ke arah integrasi ekonomi ASEAN dapat dicapai selaras penubuhan Komuniti ASEAN," kata Fadil dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, selain itu Al-Sultan Abdullah turut menyentuh isu-isu dua hala yang lain seperti kerjasama menangani impak Covid-19, repatriasi rakyat kedua-dua negara, penubuhan Pusat Pembelajaran Komuniti di Malaysia, pemeliharaan dan kebajikan nelayan kedua-dua negara serta kerjasama pelaburan dan perdagangan.

FOTO ihsan Istana Negara
FOTO ihsan Istana Negara

Yang di-Pertuan Agong juga menyatakan kepentingan bagi kedua-dua negara untuk mempertingkat kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan supaya potensi penuh kedua-dua negara dalam sektor ekonomi dapat dicapai.

"Bagi memperkukuh dan pereratkan lagi hubungan dua hala, Seri Paduka bertitah Malaysia dan Indonesia telah menggunakan mekanisme dua hala sedia seperti Rundingan Tahunan; Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala; Jawatankuasa Persempadanan Am; dan Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan Bersama," katanya.

Ahmad Fadhil berkata, Al-Sultan Abdullah amat menghargai peranan yang dimainkan Rusdi sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia khususnya semasa lawatan negara Seri Paduka berdua ke Jakarta dan Jogjakarta, Indonesia pada Ogos 2019.

Rusdi juga menyelaras dengan jayanya beberapa lawatan penting seperti lawatan rasmi Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia pada 8 dan 9 Ogos 2019 serta lawatan rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika menjadi Perdana Menteri ketujuh, ke Indonesia pada 28 dan 29 Jun 2018.

Rusdi secara rasmi berkhidmat sebagai Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia yang ke-16 pada 17 Ogos 2017 dan bakal menamatkan penempatannya di Malaysia dan dijangka pulang ke Indonesia pada Khamis ini (9 Julai).

FOTO ihsan Istana Negara
FOTO ihsan Istana Negara

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 6:48 PM