Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menerima satu lagi laporan polis berhubung dokumentari bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' yang diterbitkan oleh media antarbangsa, Al Jazeera, hari ini.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, laporan itu dibuat oleh seorang individu di Balai Polis Presint 7 Putrajaya, hari ini.

"Sebelum ini, pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ada membuat laporan berhubung perkara itu. Walaupun ada laporan baharu diterima, kami tidak membuka kertas siasatan baru sebaliknya merujuk laporan lama berkenaan.

"Kami juga sudah mengambil keterangan individu terbabit selepas laporan polis dibuat bagi membantu siasatan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu Al Jazeera memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas dakwaan perkauman terhadap warga asing ketika Covid-19 kerana ia jelas tidak wajar, mengelirukan dan berniat tidak baik.

Malah, beliau memaklumkan laporan itu juga tidak tepat sama sekali serta terpesong daripada keadaan sebenar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor Mansion.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.

Berita berkaitan:

  • Semua negara tak benar Pati bebas ketika Covid-19: KPN
  • 'Saya cabar Al Jazeera' [METROTV]
  • Rakyat mahu kerajaan tegas terhadap PATI
  • Bertegas dengan warga asing bermasalah
  • Malaysia bertindak terhadap Pati ikut undang-undang
  • Laporan Al Jazeera tidak benar
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 5:43 PM