Polis dan bomba mengesahkan kebakaran Pejabat PAS Kawasan Taiping, di sini, kira-kira 5.22 pagi tadi tidak membabitkan unsur jenayah atau khianat. FOTO Ihsan Bomba
Polis dan bomba mengesahkan kebakaran Pejabat PAS Kawasan Taiping, di sini, kira-kira 5.22 pagi tadi tidak membabitkan unsur jenayah atau khianat. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


KEBAKARAN pejabat PAS Cawangan Taiping di Jalan Medan Kamunting Jaya 2, Kamunting, Taiping, hari ini tidak membabitkan sebarang unsur jenayah mahupun khianat.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal polis di tempat kejadian tidak menemukan unsur jenayah.

"Setakat ini, siasatan (kebakaran) tidak ada unsur jenayah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kebakaran premis di tingkat atas rumah kedai dua tingkat tidak membabitkan mangsa.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dikejarkan ke lokasi sebaik panggilan diterima pada 5.22 pagi.

"Kebakaran membabitkan kemusnahan 60 peratus di premis berkenaan, dan siasatan awal tidak membabitkan unsur khianat," katanya.

Dalam pada itu, Naib Yang Dipertua PAS Cawangan Taiping, Fakhrudin Abdul Aziz berkata, terdapat kesan umpil pada pintu, selain tidak berkunci ketika pasukan bomba masuk ke premis berkenaan.

"Pasukan bomba masuk ke bangunan Pejabat PAS Taiping, pagi tadi dalam keadaan pintu tidak berkunci. Bila dilihat rupanya ada kesan pintu diumpil. Adakah ini perbuatan khianat??" soalnya melalui hantaran di Facebook peribadinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 8:32 PM