ANGGOTA unit khas pencegah kerugian TNB Zon Timur memeriksa sistem kipas yang terdapat dalam premis perlombongan matawang bitcoin di Jaya Gading. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANGGOTA unit khas pencegah kerugian TNB Zon Timur memeriksa sistem kipas yang terdapat dalam premis perlombongan matawang bitcoin di Jaya Gading. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


TENAGA Nasional Berhad (TNB) Pahang kerugian RM3.2 juta tahun lalu angkara perbuatan sindiket perlombongan mata wang bitcoin yang membuat sambungan elektrik secara haram tanpa meter.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pahang, Rozianis Mohd Noor berkata, penggunaan tenaga elektrik yang tinggi setiap bulan memaksa sindiket berkenaan bertindak membuat penyambungan haram atau mencuri elektrik.

Menurutnya, kegiatan bitcoin aktif di di beberapa kawasan yang menempatkan bangunan baru seperti Jaya Gading, Balok, Seri Fajar dan Jalan Paya Tiga di Kuantan selain di Bera dan Bentong.

Katanya, aktiviti perlombongan bitcoin membabitkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi dan beroperasi 24 jam menyebabkan pihak terbabit mencuri bekalan elektrik bagi mengelak membayar bil yang tinggi setiap bulan.

"Hampir setiap bulan unit khas pencegah kerugian TNB Zon Timur melakukan serbuan di premis bitcoin dan mengambil tindakan pemotongan kabel elektrik namun kegiatan berkenaan tetap berlaku.

"Bidang kuasa TNB hanya membuat pemotongan kabel yang disambung secara haram tidak lebih daripada itu, kita tidak boleh merampas dan menyita peralatan digunakan oleh sindiket yang dikatakan mengaut keuntungan besar," katanya dihubungi, di sini.

Beliau berkata, pelbagai helah digunakan sindiket bagi mengelak kegiatan mereka dikesan, antaranya menutup kabel sambungan dengan poster tawaran sewaan premis dan beroperasi di kawasan terpencil.

Rozianis berkata, rekod unit khas pencegah kerugian TNB Zon Timur mendapati kebanyakan premis bitcoin di Kuantan diserbu lebih daripada sekali namun ia kembali beroperasi menggunakan tenaga elektrik secara haram.

"Kita akan terus melakukan serbuan bagi memastikan sindiket bitcoin yang membuat penyambungan elektrik secara haram di premis mereka lumpuh sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 12:05 PM