GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Bukit Mertajam: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket perlombongan mata wang bitcoin dengan membuat sambungan elektrik secara haram dan menahan empat lelaki dalam tujuh serbuan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) serta Seberang Perai Selatan (SPS), semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra'ais berkata, dalam siri serbuan bermula jam 5 pagi itu, polis menahan empat lelaki itu berusia antara 24 hingga 53 tahun hasil maklumat dan risikan dijalankan pihaknya sejak seminggu lalu.

"Polis menyerbu enam rumah kedai di SPT, sebuah di SPS dan mendapati kesemua premis itu dijadikan lokasi sindiket menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin menggunakan bekalan elektrik secara haram sejak beberapa bulan lalu.

"Dalam siri serbuan itu, polis merampas 378 mesin melombong mata wang Bitcoin, 21 unit modem, lima buah CPU, sebuah komputer riba dan pelbagai jenis kotak kabel serta kotak fius yang digunakan untuk mencuri bekalan elektrik. Semuanya bernilai RM250,000," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi itu turut disertai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pemeriksaan mendapati kabel elektrik di semua premis yang diserbu sudah diubah suai untuk mencuri bekalan elektrik.

Rahimi berkata, tindakan sindiket itu mencuri bekalan elektrik untuk menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin itu menyebabkan TNB kerugian ratusan ribu ringgit setiap bulan.

Katanya, sindiket itu dipercayai mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit setiap bulan dan polis kini sedang mengesan beberapa lagi rangkaian mereka untuk siasatan lanjut.

"Kesemua empat lelaki yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan mereka kini direman bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat," katanya.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai menyewa premis rumah kedai berkenaan kononnya untuk menjalankan perniagaan namun bunyi bising daripada premis itu menimbulkan curiga sehingga membawa kepada serbuan polis.

Beliau berkata, pihak TNB turut mengambil tindakan segera dengan memotong bekalan elektrik di tujuh rumah kedai itu bagi memastikan sindiket itu tidak boleh beroperasi lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 4:23 PM