NORFATIHEN Salleh dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO AMIR MAMAT
NORFATIHEN Salleh dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


PERBUATAN seorang wanita yang menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat bayinya ke lubang kumbahan awal bulan lalu, akhirnya menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Norfatihen Salleh, 23, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang lagi yang sudah dituduh, didakwa menyembunyikan kelahiran seorang mayat bayi berusia kira-kira tujuh bulan (dalam kandungan) dengan cara membuangnya ke dalam lubang kumbahan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di belakang rumah di Kampung Kandang, Ayer Keroh, kira-kira 12.30 tengah malam, pada 7 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari, yang memohon hukuman setimpal dikenakan supaya dijadikan pengajaran.

Sementara itu tertuduh merayu dikenakan hukuman ringan.

"Saya insaf dan menyesal dengan perbuatan ini. Kini saya bukan hanya dibuang kerja malah turut dibuang keluarga," katanya

Berita berkaitan

Dijel 12 bulan buang mayat bayi

Lelaki disyaki buang mayat bayi dalam saluran kumbahan direman

Cebisan tubuh bayi dalam lubang najis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 5:20 PM