Zuliaty Zulkiffli


BOMBA mengambil masa hampir 10 minit untuk mengeluarkan subang yang tersangkut di hidung seorang wanita, di Alor Setar, malam tadi.

Dalam kejadian 10.20 malam itu, wanita berusia 30 tahun itu gagal mengeluarkan sendiri subang yang tersangkut di hidungnya menyebabkan dia menghubungi pasukan penyelamat ke rumahnya di Jalan Stadium.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.26 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Jamaludin Jasin tiba di lokasi pada 10.29 malam.

"Operasi itu disertai lima anggota dan sebuah jentera.

"Anggota melakukan operasi penyelamatan mengeluarkan subang menggunakan dua unit alat pemotong khas dan subang itu berjaya dikeluarkan tanpa sebarang kecederaan pada mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, subang berjaya dikeluarkan pada 10.48 malam.

Katanya, operasi perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kecederaan pada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 9:14 AM