Foto hiasan.
Foto hiasan.
BERNAMA

MAHKAMAH Sesyen Kuantan, hari ini memerintahkan seorang penolong pengurus di Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dipenjara dua minggu dan denda RM20,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000, lima tahun lalu.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib turut memerintahkan supaya hukuman terhadap Mohd Azeri Mohd Noor, 51, ditambah sebanyak enam bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda itu.

Tertuduh didakwa menerima rasuah itu daripada seorang ahli perniagaan yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di Bank Simpanan Nasional cawangan Raub, pada 7 Ogos 2015 dan 21 September 2015.

Transaksi setiap satu berjumlah RM1,000 itu didakwa sebagai upah untuk tertuduh melancarkan proses pengurusan tender bagi projek mereka bentuk, membina, menyiap dan menauliah loji rawatan air (LRA) di Sungai Bilut, Raub bagi syarikat kontraktor milik ahli perniagaan itu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, ahli perniagaan itu mula mengenali tertuduh pada 2015 dan mengetahui dia berperanan sebagai urusetia sebut harga dan syarikat itu menerima projek daripada PAIP berkaitan LRA itu berjumlah RM4.5 juta.

Tertuduh didakwa menghubungi ahli perniagaan itu menerusi pesanan WhatsApp dan meminta upah kerana mendakwa dirinya melancarkan proses tender syarikat itu.

Pada prosiding itu, peguam Abdullah Sidek merayu mahkamah menjatuhkan hukuman minimum bagi anak guamnya kerana jumlah suapan diterima adalah rendah selain pengakuan salah itu menjimatkan masa mahkamah.

"Tertuduh turut menjaga isteri dan tiga anaknya yang masih belajar. Kami memohon supaya mahkamah mengambil kira rayuan kami dan menjatuhkan hukuman rendah terhadap tertuduh," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shahruddin Wan Ladin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 3:08 PM