RUMAH Orang Asli Batik di Kampung Kuala Koh, yang rosak perlu dibaiki semula untuk keselesaan mereka. FOTO Ramli Ibrahim
RUMAH Orang Asli Batik di Kampung Kuala Koh, yang rosak perlu dibaiki semula untuk keselesaan mereka. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


"MANA kemudahan elektrik 24 jam dan pelbagai kemudahan lain dijanjikan sebelum ini." Itulah suara keluhan penduduk Orang Asli Batik, Kampung Kuala Koh, dekat Gua Musang.

Mereka mendakwa, kini genap setahun tragedi kematian 15 Orang Asli Jun akibat demam campak, namun kehidupan kaum itu tiada perubahan dan pelbagai janji ditabur sebelum ini belum ditunaikan.

Seorang penduduk Orang Asli, Halim Manis, 51, berkata, selepas berlaku tragedi itu, pelbagai janji diluahkan jabatan dan agensi kerajaan.

Katanya, antara kemudahan paling penting adalah elektrik 24 jam kerana selama ini mereka hidup bergelap dan hanya bergantung kepada api lilin.

Dia berkata, kemudahan lain dijanjikan adalah peluang pekerjaan, membina bangsal bersewang dan membaiki semula rumah rosak.

"Berikutan itu, kebanyakan penduduk termasuk kami kerap berpindah ke hutan untuk mencari keselesaan hidup dan tinggal di khemah.

"Kalau ada disediakan bekalan elektrik 24 jam sudah tentu kami semua dapat tinggal di rumah sepenuh masa dalam keadaan selesa," katanya.

Tragedi jangkitan kuman demam campak itu membabitkan 15 kematian Orang Asli Batik Kampung Kuala Koh, pada Jun tahun lalu.

Berikutan tragedi itu, seramai 112 lagi penduduk kaum terbabit yang turut dijangkiti penyakit itu menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Guru Agama Islam Orang Asli, Kampung Kuala Koh, Mohd Fadzly Mahmod berkata, setakat ini hanya kampung itu yang masih ketinggalan dalam pelaksanaan kemudahan asas.

Katanya, penduduk Orang Asli Kampung Aring 5 dan Pasir Linggi sudah lama menikmati pelbagai kemudahan seperti bekalan elektrik 24 jam.

"Lagipun, kerajaan yang menjanjikan kemudahan berkenaan sebaik berlaku tragedi 15 kematian kaum itu Jun tahun lalu.

"Jadi Orang Asli kampung itu mahu kerajaan membuka kelas khas bagi pendidikan anak mereka supaya tidak tercicir pelajaran," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Amran Ariffin ketika dihubungi berkata, pihaknya akan berunding dengan pihak terbabit berhubung janji pelaksanaan pelbagai kemudahan asas itu.

Beliau berkata, kemungkinan pelaksanaannya tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 bermula 18 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 2:19 PM