KAMPUNG Kuala Koh lengang sepanjang PKP (Gambar kiri). Tiga beranak Orang Asli Batek berkurung dalam bangsal dibinanya untuk mengelak jangkitan Covid-19. FOTO Ramil Ibrahim.
KAMPUNG Kuala Koh lengang sepanjang PKP (Gambar kiri). Tiga beranak Orang Asli Batek berkurung dalam bangsal dibinanya untuk mengelak jangkitan Covid-19. FOTO Ramil Ibrahim.
Ramli Ibrahim


MENGAMBIL iktibar tragedi 15 kematian akibat jangkitan demam campak Jun tahun lalu, Orang Asli Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang tidak mahu tragedi itu berulang.

Berikutan itu, mereka mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuasa 18 Mac hingga 14 April ini berada di rumah bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Penduduk Orang Asli Batek, Papan Majid, 46, berkata, mereka tiada masalah untuk mematuhi arahan berkenaan.

Katanya, keadaan itu sudah dialami sebelum ini apabila dua daripada 15 penduduk kampung itu meninggal dunia kerana jangkitan demam campak adalah anak perempuannya.

Bagaimanapun, katanya, ketika tragedi itu dia bersama isteri serta hampir seluruh penduduk Kampung Kuala Koh di kuarantin di di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Taman Etnobotani, Gua Musang.

“Bagi wabak Covid-19 pula, penduduk hanya perlu duduk di rumah sendiri bersama keluarga, dan ia bukan satu masalah bagi kami.

“Apapun ada juga penduduk kaum itu yang berpindah dalam hutan tetapi tidak ramai,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Koh, dekat Gua Musang, hari ini.

Seorang lagi, Along Kulim, 23, berkata, walaupun kehidupan terjejas, tetapi mereka akur demi keselamatan.

Dia mengakui kehidupan penduduk masih dihantui tragedi demam campak berkenaan, dan ia memberi pengajaran amat mendalam kepada mereka.

“Sampai hari ini tragedi itu belum dapat dilupakan oleh kebanyakan keluarga yang terbabit.

“Jadi, kami perlu lebih berhati-hati ketika berdepan dengan wabak Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Ariffin ketika dihubungi mengesahkan Orang Asli di kampung luar bandar mematuhi PKP.

“Bagi keperluan makanan untuk mereka sudah dihantar secara berperingkat oleh petugas khususnya anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 2:10 PM