APM berjaya menangkap ular tedung selar yang bersembunyi di siling rumah. FOTO ihsan pembaca
APM berjaya menangkap ular tedung selar yang bersembunyi di siling rumah. FOTO ihsan pembaca
Nurul Fatihah Sulaini


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil masa kira-kira lima jam untuk menangkap ular tedung selar yang berada siling rumah penduduk di Kampung Hulu Seladang, Permaisuri, semalam.

Ketua Bahagian Latihan dan Operasi APM Daerah Setiu, Mohd Fazli Mat Yusof berkata, mereka menerima menerima panggilan kes ular jam 7.45 pagi.

"Seramai tiga anggota ditugaskan ke lokasi kejadian dan sampai ke rumah pengadu jam 8.30 pagi.

"Pada awalnya pengadu memberitahu dia ternampak ular di bawah almari kawasan dapur tetapi lebih 20 minit mencari tidak menemui reptilia itu.

"Pengadu menyangka ular yang dilihatnya jenis ular sawa tetapi sebenarnya tedung selar," katanya yang dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pengadu meminta mereka memeriksa di siling rumah kerana mengesyaki ia masih belum keluar dari rumah.

"Kami berdepan dengan beberapa cabaran untuk menangkap ular itu kerana sukar mendapatkan kawasan selamat bagi anggota membuat tangkapan.

"Pada awalnya kami menggunakan penjerut tetapi gagal sebelum ular itu masuk ke dalam dinding kayu dan tidak boleh bergerak keluar," katanya.

Mohd Fazli berkata, mereka turut mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menangkap ular berkenaan.

"Selepas beberapa jam mencuba, akhirnya ular tedung selar sepanjang kira-kira empat meter itu berjaya ditangkap.

"Tindakan pantas pengadu segera menghubungi anggota keselamatan berjaya menyelamatkan mereka sekeluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 12:50 PM