MANGSA dibawa keluar dari tempat kejadian. FOTO Ihsan APM
MANGSA dibawa keluar dari tempat kejadian. FOTO Ihsan APM
Muhaamad Hafis Nawawi


PEMANDU grab nyaris maut apabila kereta Perodua Bezza yang dipandunya dalam perjalanan ke Genting Highlands terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Batu 17 Jalan Gombak Lama arah Genting Sempah.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung ketika tiba di kawasan selekoh.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, mangsa memberitahu keretanya berpusing beberapa kali sebelum terjunam ke dalam gaung.

Menurutnya, mujur ketika kejadian seorang lagi rakan mangsa yang memandu Perodua Axia ada bersama dan membantunya sebelum menghubungi pihak berkuasa.

"Rakannya terpaksa memecahkan cermin belakang kerana keempat-empat pintu tidak dapat dibuka.

"Sebaik berjaya dikeluarkan mangsa menunggu di bawa sehingga pasukan penyelamat tiba," katanya.

Katanya, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 9:55 AM