KERETA Perodua Myvi yang dipandu lelaki terjatuh ke dalam gaung selepas terbabas ketika menuruni bukit di Kampung Kemangi, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik. FOTO Ihsan Polis
KERETA Perodua Myvi yang dipandu lelaki terjatuh ke dalam gaung selepas terbabas ketika menuruni bukit di Kampung Kemangi, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik. FOTO Ihsan Polis
Safuri Kamarudin


Baling: "Apabila tiba di satu selekoh saya tak dapat mengawal kenderaan lalu kenderaan berpusing dan terbabas sehingga terjatuh dalam gaung," kata Ismail Rasdi, 26, yang terselamat selepas kereta dipandu terjatuh ke gaung sedalam 120 meter (m) di Kampung Kemangi, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik, semalam.

Ismail yang juga petugas di Pejabat Kesihatan Baling berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Taman Bersatu Baling selepas menghabiskan cuti di kampung di Kelantan.

"Syukur saya selamat... hanya cedera ringan dengan luka bercalar pada bahu kanan, luka pada kaki kiri, tangan kanan dan kiri serta sakit pada badan.

"Allah masih sayang saya, walaupun kereta remuk teruk selepas berpusing lebih enam kali saya masih dapat menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap," katanya, hari ini.

Ismail yang masih trauma berkata, pemakaian tali pinggang keledar menjadi asbab dia terselamat dari kecelakaan itu.

"Ketika terbabas ke dalam gaung, mulut saya tidak henti-henti menyebut kalimah Allah.

"Rasanya enam tujuh kali kereta berpusing hingga ke bawah tetapi saya masih kekal di kerusi kerana pakai tali pinggang keledar serta dengan izin Allah," katanya.

Menurutnya, selepas kereta berhenti berpusing, dia bergegas keluar dari kenderaan menerusi tingkap yang pecah, sebelum dibantu pasukan bomba yang dihubungi orang awam.

Katanya, dia dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Zon Hijau, Hospital Baling, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, seorang penjawat awam di Pejabat Kesihatan Baling, terbabit dalam nahas kereta yang terjunam ke dalam gaung.

Kemalangan dipercayai berlaku, selepas kereta yang dipandu hilang kawalan ketika melalui jalan menuruni bukit yang dalam keadaan basah dan berselekoh.

Insiden itu menyebabkan kenderaan itu terbabas dan melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 8:54 PM