WARGA asing menunggu giliran untuk melanjutkan tempoh visa di kaunter Imigresen, Mac lalu. FOTO Mohd Fadli Hamzah
WARGA asing menunggu giliran untuk melanjutkan tempoh visa di kaunter Imigresen, Mac lalu. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki


WARGANEGARA asing yang pas lawatan sosial mereka tamat pada tempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh mendapatkan lanjutan pas berkenaan di Jabatan Imigresen Malaysia terdekat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP maklum dengan isu pas lawatan sosial itu yang tamat dalam tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Warganegara asing yang pas lawatan sosial tamat semasa PKPP pula, mereka boleh terus ke Lapangan Terbang untuk menaiki penerbangan pulang ke negara masing-masing dalam tempoh 14 hari dari tarikh PKPP tamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan terhadap 4,536 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara 10 hingga 22 Jun lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 4,517 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing manakala 19 individu lagi didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Pada 22 Jun, seramai 142 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui KLIA dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, India, China dan Belanda.

"Kesemua mereka telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka (home quarantine)," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, berhubung pengumuman aktiviti riadah di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar serta kolam renang persendirian pada 22 Jun, operator atau pemilik kolam renang perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di http://notification.miti.gov.my bagi tujuan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan pemantauan serta penguatkuasaan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 5:09 PM