PASAR raya besar diarah tutup dan notis yang dikeluarkan. FOTO Ihsan Polis.
PASAR raya besar diarah tutup dan notis yang dikeluarkan. FOTO Ihsan Polis.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


AKIBAT gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan penguatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sebuah pasar raya yang baru beroperasi di Kampung Boyan, Taiping, diarahkan tutup selama dua minggu, dengan serta merta.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, tindakan dibuat kerana kegagalan premis terbabit mengawal kemasukan pelanggan hingga menyebabkan ketiadaan rekod daftar masuk pelanggan yang berkunjung ke pasar raya itu.

"Buku dan alat bacaan suhu pelanggan ada disediakan tetapi tiada kawalan yang menyebabkan ramai pelanggan tidak mencatat nama serta bacaan suhu sebelum memasuki pasar raya.

"Antara kesalahan lain yang dilakukan adalah gagal mematuhi penjarakan sosial satu meter yang berpunca daripada kegagalan mengawal jumlah kemasukan pelanggan, sekali gus menyebabkan terlalu ramai pelanggan berada di dalam premis," katanya ketika dihubungi.

Osman berkata, tindakan menutup premis itu dilakukan mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) selain kompaun dikeluarkan penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia mengikut Seksyen 22(b) akta sama.

"Penutupan dikenakan selama dua minggu, dan sehingga pemilik premis terbabit mengambil tindakan untuk memenuhi SOP seperti yang ditetapkan," katanya.

Katanya, tindakan itu diambil hasil melalui pemantauan pasukan bertindak Team Task Force Pematuhan SOP PKPP dari Balai Polis (BP) Taiping serta BP Aulong bersama unit penguat kuasa KKM di pasar raya itu antara 3.45 hingga 5.30 petang Rabu lalu.

"Turut bersama dalam pemantauan itu adalah unit penguat kuasa Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan 26 keanggotaan," katanya.

Difahamkan pasar raya terbabit baharu sahaja memulakan operasinya 5 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 8:23 AM