MAYAT suspek dibawa keluar dari lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
MAYAT suspek dibawa keluar dari lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
BERNAMA

LELAKI yang cuba merompak sebuah bank dan menahan seorang pelanggan sebagai tebusan di Felda Ayer Tawar 5, Kota Tinggi hari ini, ditembak pada jarak dekat oleh pengawal keselamatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad berkata, dalam kejadian 2.04 petang itu, suspek yang berumur 19 tahun bersenjatakan sabit masuk ke kawasan perkhidmatan bank serta mengacukan sabit ke leher seorang wanita, pelanggan bank itu.

"Melalui rakaman CCTV (kamera litar tertutup) dan percakapan saksi, kita dapati suspek datang berseorangan dan terus tarik seorang perempuan yang berada di hadapan bank.

"Suspek kemudian campak beg beritahu nak duit sambil meletakkan sabit di leher mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ketika itu, katanya pengawal keselamatan yang berada dalam bank mengambil peluang melepaskan tembakan ke arah suspek dari jarak dekat iaitu kira-kira lima meter.

Katanya, tembakan mengenai bahagian rusuk kanan suspek dan suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Md Yusof berkata, kakitangan dan pelanggan termasuk tebusan wanita itu terselamat dalam kejadian tebusan yang berlaku kira-kira setengah jam itu.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat dan menurutnya siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Berita berkaitan

'Perompak masuk, tarik wanita sedang beratur' - saksi

Rompak bank: Suspek umur 19 tahun mati ditembak

Gempar bank dirompak di Kota Tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 10:23 PM