Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengemas kini garis panduan untuk membenarkan discaj pesakit Covid-19 dari wad penyakit berjangkit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulllah berkata, pesakit dengan jangkitan Covid-19 yang disahkan oleh makmal boleh didiscaj dari wad penyakit berjangkit apabila memenuhi beberapa kriteria.

Kriteria bagi pesakit yang bergejala sebelum dibenarkan discaj, katanya, sekurang-kurangnya tiga hari atau 72 jam pulih daripada demam tanpa menggunakan ubat demam.

"Selain itu, gejala pernafasan misalnya batuk dan sesak nafas sudah bertambah baik dan sekurang-kurangnya 14 hari telah berlalu sejak gejala bermula.

"Bagi pesakit tidak bergejala pula, pesakit itu sudah dirawat 14 hari sejak tarikh ujian diagnostik Covid-19 didapati positif, dengan anggapan mereka tidak mengalami sebarang gejala selepas ujian positif mereka.

"Ujian pengesanan Covid-19 tidak diperlukan sebelum pesakit didiscaj dari wad penyakit berjangkit.

"Sekiranya pesakit masih memerlukan rawatan perubatan selain rawatan Covid-19, mereka boleh dipindahkan ke wad lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, beliau menjelaskan garis panduan itu selari mengenai kebolehjangkitan dan discaj pesakit Covid-19 di negara ini dan beberapa negara lain.

"Seperti sering ditekankan oleh KKM sebelum ini, pengetahuan dan penemuan baharu mengenai Covid-19 sentiasa berkembang dan berubah kian hari.

"Ini membantu pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan pihak berwajib seperti KKM untuk menambah baik kaedah pengurusan wabak Covid-19," katanya.

Berdasarkan pemantauan KKM dalam pengurusan pesakit Covid-19, beliau berkata, ujian Tindak Balas Rantai Polimer Transkripsi (RT-PCR) Covid-19 bagi kebanyakan pesakit sudah sembuh masih kekal menunjukkan keputusan positif dalam jangka masa yang panjang meskipun apabila mereka telah sembuh.

Katanya, ujian rt-PCR sememangnya sangat sensitif dalam mengesan kehadiran protein virus.

GAMBAR hiasan. Foto Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Foto Arkib NSTP

"Walaupun mereka masih dikesan positif, namun mereka tidak bergejala, tidak jatuh sakit atau menyebarkan penyakit ini kepada keluarga terdekat. Hasil kajian kultur yang dilakukan berulang kali menunjukkan virus Covid-19 gagal dibiakkan.

"Justeru, KKM membuat kesimpulan bahawa keputusan positif Covid-19 bagi pesakit yang sembuh adalah berpunca daripada virus atau fragmen virus (deoxyribonucleic acid atau DNA) yang telah mati," katanya.

Beliau berkata, penemuan serupa juga dilaporkan di beberapa negara misalnya Korea, China, Singapura dan Jerman.

Menurutnya, kajian di China menunjukkan bahawa kebolehjangkitan berlaku dua tiga hari sebelum bermula gejala dan berada pada tahap tertinggi 0.7 hari sebelum pesakit bergejala.

"Kebolehjangkitan menurun ke tahap yang sangat rendah selepas tujuh hari. Manakala satu kajian lagi di Taiwan mendapati bahawa selepas lima hari pesakit dijangkiti Covid-19, mereka tidak menyebarkan jangkitan kepada kontak rapat yang terdedah kepada pesakit ini.

"Penemuan kajian di Korea pula menunjukkan walaupun 25.9 sehingga 48.9 peratus bekas pesakit Covid-19 disyaki kembali positif semula selepas discaj, ujian Covid-19 yang dijalankan ke atas 790 kontak rapat bagi 285 bekas pesakit Covid-19 itu menunjukkan mereka tidak dijangkiti Covid-19.

"Ini bermakna sememangnya sudah tiada kebolehjangkitan Covid-19 di kalangan bekas pesakit Covid-19 berkenaan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pemantauan itu adalah bertepatan dengan hasil siasatan yang mendapati bahawa tempoh berjangkit atau infectious period bermula dua hingga tiga hari sebelum gejala bermula, dan adalah di kemuncak satu hari sebelum gejala.

Tempoh berjangkit juga, katanya, didapati menurun ke paras yang sangat rendah dalam masa tujuh hari selepas itu.

"Ini selaras dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh WHO dalam Clinical management of Covid-19, Interim guidance, May 2020 bahawa kebanyakan pesakit positif Covid-19 hanya boleh menyebarkan penyakit ini dalam jangka masa 10 hari daripada permulaan penyakit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 7:16 PM