GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


PENYEBARAN virus Covid-19 oleh individu tidak bergejala bukanlah satu perkara yang baik kepada negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau yang berkongsi mengenai perkara berkenaan di Facebook miliknya berkata, peningkatan hasil kajian menunjukkan bahawa individu yang tidak bergejala mempunyai beban virus (viral load) yang sama dengan individu mempunyai gejala.

Katanya, ia secara tidak langsung menunjukkan sama ada individu itu bergejala atau tidak, mereka tetap boleh membawa virus berkenaan dengan jumlah yang sama bagi menjangkiti individu lain.

"Ini menunjukkan bahawa penularan dapat dilakukan sama ada daripada pesakit tanpa gejala atau pesakit yang mempunyai gejala," katanya yang berkongsi satu artikel daripada University John Hopkins mengenai perkara berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata, jangkitan oleh pesakit tidak bergejala bukanlah satu perkara biasa dan menunjukkan wabak berkenaan lebih sukar dibendung berbanding penyakit lain.

"Jangkitan tidak bergejala ini agak luar daripada kebiasaan (uncommon) untuk virus, ia bukanlah petanda baik. Kalau individu itu mampu menyebarkan virus walaupun tidak bergejala, ia juga mampu menyebabkan lebih banyak jangkitan komuniti (jangkitan yang sumbernya tidak diketahui, atau hubungan kontaknya tidak dapat dikenal pasti).

"Ini semakin jelas bahawa Covid-19 lebih sukar untuk dibendung," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut berkongsi artikel memetik satu kes di Iceland yang melakukan ujian saringan Covid-19 secara meluas membabitkan lima peratus populasi rakyat negara itu.

Berdasarkan hasil kajian yang diperolehi, 50 peratus daripada individu yang disaring itu dikesan menghidap Covid-19 dan tidak menunjukkan sebarang gejala.

Untuk rekod, sehingga kini, sebanyak 6,819 kes positif Covid-19 dilaporkan di negara ini. Daripada jumlah berkenaan sebanyak 1,356 kes masih aktif.

Malaysia sehingga jam 12 tengah hari semalam sudah mencatatkan sebanyak 112 kes kematian atau 1.64 peratus daripada keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 4:50 PM